International Industry Advisory Council (IIAC) Meeting 2026
Program Majlis Penasihat Industri Antarabangsa (International Industry Advisory Council, IIAC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2026 telah berlangsung dengan jayanya dari 25 hingga 27 Mac 2026. Program ini merupakan satu inisiatif strategik UKM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara akademia dan industri di peringkat global, selaras dengan aspirasi universiti untuk memacu kecemerlangan penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat.
25 Mac 2026: Pengukuhan Jaringan Industri dan Sinergi Global
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan hormat daripada rakan industri global, Micron Technology yang juga merupakan ahli Majlis Penasihat Industri Antarabangsa (IIAC) UKM. Delegasi tersebut diketuai oleh En. Amarjit Sarjit Singh dan disambut oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh.
Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat, termasuk usaha memperkasa ekosistem semikonduktor dan pembangunan teknologi termaju.
Kunjungan hormat delegasi Micron Technology ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam memperkukuh jaringan strategik bersama rakan industri antarabangsa, sejajar dengan usaha memacu penyelidikan berimpak tinggi serta pembangunan teknologi negara.
Pada sebelah malam, UKM telah menganjurkan Majlis Makan Malam sebagai acara pembuka tirai bagi menyambut kedatangan 16 ahli IIAC. Majlis ini menjadi platform santai untuk mengeratkan hubungan serta bertukar pandangan sebelum berlangsungnya mesyuarat rasmi.
Majlis Makan Malam sempena ketibaan ahli Majlis Penasihat Industri Antarabangsa (IIAC) UKM.

Penubuhan IIAC yang dikendalikan oleh Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-KOM) merupakan satu langkah strategik dalam memastikan UKM kekal relevan di peringkat antarabangsa serta menyokong Pelan Strategik TEKAD 57 UKM 2026–2030.
26 Mac 2026: Pemerkasaan Kolaborasi Strategik Global
Mesyuarat Majlis Penasihat Industri Antarabangsa (IIAC) UKM telah diadakan di Le Méridien, Putrajaya dengan menghimpunkan 16 tokoh terkemuka industri dan akademik daripada pelbagai organisasi global. Mesyuarat ini menjadi platform strategik bagi merangka hala tuju kerjasama, pembangunan bakat serta pengukuhan penyelidikan dan inovasi universiti.
Sesi Mesyuarat Majlis Penasihat Industri Antarabangsa (IIAC) UKM.

Perbincangan melibatkan pelbagai bidang kepakaran termasuk kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan, sains data, ekonomi, kewangan, penjagaan kesihatan serta pembangunan mampan, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan dan daya saing global UKM.
Barisan ahli Majlis Penasihat Industri Antarabangsa (IIAC) UKM bersama pengurusan universiti.

Liputan Media Berkaitan
Program ini turut mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa:
- UKM PERLUAS KERJASAMA GLOBAL TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN, KEMAMPANAN KEWANGAN
- UKM LEADS GLOBAL COLLABORATION DRIVE TO BOOST GRADUATE EMPLOYABILITY, FINANCIAL SUSTAINABILITY
- UKM tubuh Majlis Penasihat Industri Antarabangsa
Liputan ini menonjolkan peranan IIAC sebagai platform strategik yang menghubungkan kepakaran global dengan pembangunan pendidikan tinggi negara.
27 Mac 2026: Kunjungan Hormat Diraja
Pada hari terakhir program, ahli-ahli IIAC telah menghadiri sesi Kunjungan Hormat Diraja bersama Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga merupakan Canselor UKM.
Kunjungan Hormat Diraja ahli IIAC bersama DYMM Tuanku Muhriz, Canselor UKM.

Sesi yang berlangsung di Istana Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan IIAC dalam menyokong agenda strategik universiti serta memperkukuh hubungan antara institusi diraja, universiti dan rakan industri antarabangsa.
Secara keseluruhannya, program IIAC UKM 2026 telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh jaringan kolaborasi strategik antara UKM dan rakan industri global. Program ini bukan sahaja menjadi platform pertukaran idea dan kepakaran, malah membuka peluang kepada pembangunan penyelidikan berimpak tinggi, inovasi serta pembangunan bakat yang relevan dengan keperluan industri masa hadapan.
Komitmen berterusan UKM dalam menjayakan inisiatif ini membuktikan kesungguhan universiti untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan teknologi negara.