Tahniah kepada Pasukan Penyelidik UKM GohLab, Penerima Anugerah JT di TECH PLAN Demo Day in Malaysia 2026
Pada 16 Mei 2026, Leave a Nest Malaysia telah menganjurkan TECH PLAN Demo Day in Malaysia 2026 yang berlangsung di Center of Garage Malaysia, Cyberjaya. Program ini merupakan edisi ke-12 platform pembentangan teknologi mendalam (deep-tech) di Malaysia yang menghimpunkan sembilan finalis terbaik daripada 56 penyertaan lengkap dari seluruh negara untuk mempersembahkan penyelesaian inovatif bagi cabaran industri, alam sekitar dan kesihatan.
Barisan juri serta rakan ekosistem pada tahun ini terdiri daripada wakil syarikat dan organisasi tempatan serta antarabangsa termasuk Ajinomoto Malaysia, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC), Malaysia Debt Ventures (MDV), JT, UntroD Capital Asia dan Ezaki Glico.
Dalam program tersebut, pasukan penyelidik GohLab dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menerima Anugerah JT menerusi inovasi mereka, GlutenDeTox, yang dibangunkan bagi menangani isu sensitiviti gluten di peringkat global. Inovasi ini mendapat perhatian kerana potensi impaknya yang signifikan terhadap kesihatan serta kesesuaiannya untuk peluang kerjasama masa hadapan bersama pasaran pengguna Jepun melalui JT.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan penyelidik GohLab, khususnya Prof. Madya Dr. Goh Hoe Han dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia, atas pencapaian yang membanggakan ini.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha penyelidikan dan pengkomersialan inovasi GlutenDeTox serta terus mengangkat kepakaran penyelidik UKM dalam bidang bioteknologi, kesihatan dan teknologi mendalam di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKMâ„¢)
Memacu Inovasi, Mencetus Revolusi