Lawatan Penanda Aras ke Bahagian Keselamatan UTeM, Melaka
19 Jun 2025 (Khamis)
Bahagian Keselamatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berpeluang mengadakan satu lawatan penanda aras ke Bahagian Keselamatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Lawatan ini merupakan satu inisiatif penting yang menjadi platform bermakna dalam usaha memperkukuh kefahaman serta memperluas pengetahuan berkaitan pengurusan keselamatan kampus, khususnya dalam aspek penjadualan kerja syif anggota keselamatan.
Sepanjang lawatan ini, delegasi Bahagian Keselamatan UKM telah diberi taklimat yang komprehensif berhubung pelaksanaan amalan terbaik yang diguna pakai oleh pihak Bahagian Keselamatan UTeM. Peluang untuk bertukar pandangan, pengalaman dan pendekatan kerja telah membuka ruang kepada penambahbaikan yang lebih berkesan, sejajar dengan keperluan semasa dan cabaran dalam pengurusan keselamatan di institusi pengajian tinggi.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Pengarah Pejabat Keselamatan UTeM, Kapten Ahmad Shakir Bin Yahaya (Bersara), serta seluruh warga Bahagian Keselamatan UTeM atas layanan mesra, komitmen tinggi dan perkongsian ilmu yang amat bermakna sepanjang lawatan ini berlangsung.
Semoga hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua universiti ini akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa demi mencapai matlamat bersama untuk mewujudkan sistem keselamatan kampus yang lebih cekap dan profesional.