Pengenalan
Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dan mula beroperasi di Bangunan Institut Bahasa, Lembah Pantai. Susulan penubuhan universiti ini, Unit Keselamatan telah diwujudkan di bawah Jabatan Pendaftar dengan kekuatan awal seramai enam (6) orang anggota sahaja.
Seiring dengan perpindahan universiti ke Kampus Bangi, perjawatan Bahagian Keselamatan telah diperkukuhkan dan ditingkatkan sehingga mencecah seramai 156 orang kakitangan. Kini, Bahagian Keselamatan turut mempunyai beberapa unit luar yang beroperasi di Kampus Kuala Lumpur, Pusat Latihan Khidmat Masyarakat UKM Beranang serta Pusat Latihan Khidmat Masyarakat Teluk Intan, Perak.
Bahagian Keselamatan pernah diterajui oleh beberapa orang Pengarah Keselamatan dan Ketua Pegawai Keselamatan, iaitu:
Mejar (B) Taip Sulaiman (1975–2001),
Mejar (B) Hashim Abd Rani (2001–2003),
Lt. Kol. (B) Dollah Ehsan (2003–2005),
Mejar Houssaini Abd Ghani (2004–2011),
Lt. Kol. (B) Jury Tasripan (2012–2015),
Kapten (B) Hamon Rafiz Abd Hamed (2016–2019)
Kini, Bahagian Keselamatan diterajui oleh Mejar (B) Dato’ Asri Ahmad sebagai Pengarah Keselamatan. Sejak penubuhannya, Bahagian Keselamatan sentiasa memainkan peranan penting dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh Pengurusan Tertinggi Universiti.
Bahagian Keselamatan UKM merupakan sebuah entiti di bawah Jabatan Pendaftar yang bertanggungjawab merancang, menyelaras dan melaksanakan aspek keselamatan universiti secara menyeluruh. Sejak penubuhannya, bahagian ini komited dalam melindungi harta benda universiti, memelihara ketenteraman awam kampus serta memastikan pematuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan.
Antara fungsi utama Bahagian Keselamatan termasuklah pengawalan keselamatan fizikal, pemantauan lalu lintas kampus, penguatkuasaan peraturan, pencegahan dan pengawalan jenayah, pengurusan situasi kecemasan seperti kebakaran, serta pelaksanaan siasatan terhadap insiden yang berlaku. Selain itu, Bahagian Keselamatan turut bekerjasama dengan agensi luar bagi memperkukuhkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman.
Dengan sokongan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman, Bahagian Keselamatan UKM sentiasa berusaha meningkatkan tahap keselamatan kampus selaras dengan keperluan semasa demi kesejahteraan seluruh warga universiti.