Lawatan Penanda Aras ke Bahagian Keselamatan UTM
18 Jun 2025 (Rabu)
Bahagian Keselamatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berpeluang mengadakan satu lawatan penanda aras ke Bahagian Keselamatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 18 Jun 2025. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman serta menimba pengalaman dalam aspek pengurusan pentadbiran dan operasi keselamatan kampus, khususnya berkaitan pengoperasian Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV), penggunaan teknologi dron keselamatan, serta pendekatan strategik dalam meningkatkan tahap keselamatan kampus secara menyeluruh.
Delegasi UKM amat menghargai sambutan mesra yang telah diberikan oleh pihak Bahagian Keselamatan UTM sepanjang sesi lawatan berlangsung. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan khusus kepada Pengarah Keselamatan UTM, Encik Mohd Faizal Abd Latib, serta seluruh warga Bahagian Keselamatan UTM atas kesudian menerima lawatan ini dan berkongsi ilmu serta amalan terbaik dalam bidang keselamatan kampus.
Perkongsian yang sangat bermanfaat ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem keselamatan UKM, di samping membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua universiti dalam bidang keselamatan dan pengurusan risiko.
Semoga jalinan sinergi ini terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan mampu memberi impak yang positif terhadap sistem penyampaian perkhidmatan keselamatan kampus ke arah yang lebih efisien dan profesional.