TENTANG KAMI
SEJARAH KOLEJ PENDETA ZA'BA
Kolej Pendeta Za’ba, lebih dikenali sebagai KPZ, merupakan kolej kediaman terbesar dan paling muda di kalangan 12 buah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Terletak di Lingkungan Kedua UKM, KPZ berdekatan dengan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FTSM), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Pendidikan (FPend), Fakulti Undang-undang (FUU), serta Pusat Pengurusan Akademik. Kolej ini dibina di atas tapak seluas 15 ekar dan mempunyai lapan blok asrama (masing-masing terdiri daripada dua wing) serta sebuah pusat kemudahan pelajar, mampu menampung seramai 3,630 pelajar.
Asal Usul Nama Kolej
Nama Kolej Pendeta Za’ba diambil sempena tokoh ilmuwan dan nasionalis Melayu tersohor, Zainal Abidin bin Ahmad, lebih dikenali sebagai Za’ba, yang dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Za’ba banyak menyumbang kepada modernisasi penulisan Jawi, perkembangan Bahasa Melayu, dan cadangan penubuhan sebuah universiti untuk kaum bumiputera dengan bahasa pengantar Melayu. Sehubungan itu, KPZ mengangkat motto “Pewaris Keunggulan Pendeta”, sebagai penghormatan terhadap sumbangan dan semangat beliau.
Penubuhan dan Pembangunan Awal
Secara rasmi, KPZ ditubuhkan pada 19 Oktober 2001 hasil perjanjian antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan pihak swasta, Kausar Corporation Sdn. Bhd. Pembangunan KPZ menggunakan konsep BOT (Build, Operate, Transfer) dengan tempoh konsesi selama 30 tahun. Perjanjian telah
ditandatangani antara Prof. Datuk Dr. Anuwar Ali, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan En. Basir Elon, Pendaftar UKM dengan pengarah Kausar Corporation Sdn. Bhd. En. Baharin Ayob dan pengarahnya, En. Tarin Ayub. Pada peringkat awal, kolej ini dikenali sebagai Kolej Kausar sempena nama syarikat pembangunnya.
Pada permulaan, hanya 690 pelajar prasiswazah dan pascasiswazah ditempatkan di dua blok, Blok A dan Blok B. Kolej ini siap sepenuhnya pada semester kedua sesi 2005/2006 dan secara rasmi dinamakan Kolej Pendeta Za’ba pada semester kedua sesi 2004/2005. Sehingga 31 Oktober 2013, pembangunan fizikal dan kemudahan diuruskan sepenuhnya oleh Kausar Corporation (kemudian dikenali sebagai Al-Falah Sejati), manakala urusan hal ehwal pelajar diselia oleh Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM. Kedua-duanya diselaras oleh pengurusan di bawah Pengetua pertama, Prof. Datuk Dr. Yahya Ibrahim, dan seterusnya Prof. Dr. Ahmad Sunawari Long yang dilantik sebagai Pengetua kedua bermula 1 Ogos 2009.
Pada 1 November 2013, KPZ secara rasmi diserahkan sepenuhnya kepada pengurusan UKM melalui pembiayaan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Upacara penyerahan ini disempurnakan oleh Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hassan, Naib Canselor UKM, di pentas kafe KPZ.
Transformasi di bawah Kepimpinan Pengetua
Di bawah kepimpinan Prof. Dr. Ahmad Sunawari Long, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan termasuk pembangunan fasiliti, penginapan pelajar, serta pelaksanaan program berimpak tinggi.
Pengetua ketiga, Prof. Ts. Dr. Muhammad Rahimi Yusop, memulakan tugas pada 8 Februari 2021, memperkenalkan transformasi dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Antaranya ialah pengenalan lima kursus Citra, program Bersamamu Siswa Za’ba (BERSZA), Cabaran Debat Za’ba (CDZ), mobiliti antarabangsa, dan Pertandingan Wind Orchestra. Infrastruktur kolej turut dipertingkatkan melalui projek myKPZcare, kemudahan sukan, rekreasi serta pemodenan bangunan pentadbiran.
Bermula 1 November 2024, KPZ menerima kepimpinan baharu di bawah Pengetua Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi. Beliau memperkenalkan nilai teras yang menjadi tunjang pentadbiran dan budaya kerja warga KPZ iaitu Integriti, Iltizam, dan Ihsan, yang menjadi panduan dalam pengurusan kolej dan pembangunan sahsiah pelajar.
Era Baharu di bawah Pengetua Terkini
Bermula 13 April 2026, KPZ menerima Pengetua baharu, Prof. Madya Ts. Dr. Saiful Irwan Zubairi dari FST. Beliau mengetengahkan prinsip “Keterlihatan dan Ketelusan” (Visibility and Transparency), yang menekankan kepentingan pengurusan yang jelas, terbuka, dan bertanggungjawab kepada semua pihak. Prinsip ini diharapkan dapat memperkukuh kepercayaan warga kolej serta memastikan setiap keputusan dan inisiatif diurus dengan telus dan profesional.
Di bawah kepimpinannya, pelbagai inisiatif berimpak tinggi diteruskan, dengan fokus khusus terhadap kebajikan pelajar dan penambahbaikan kemudahan penginapan serta prasarana kolej. Komitmen ini menegaskan usaha berterusan KPZ dalam menyediakan persekitaran kondusif dan holistik bagi membentuk mahasiswa yang cemerlang dari segi akademik, kepimpinan, dan sahsiah.
MANTAN PENGETUA KPZ

YBrs. Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi
01 November 2024 - 12 April 2026

YBhg. Prof. Ts. Dr. Muhammad Rahimi Yusop
08 Februari 2021 - 31 Oktober 2024

YBhg. Prof. Dr. Ahmad Sunawari Long
01 Ogos 2009 - 07 Februari 2021

YBhg. Prof. Datuk Dr. Yahya Ibrahim
19 Oktober 2001 - 31 Julai 2009
GARIS MASA
2001
Kolej Pendeta Za'ba
Di bawah seliaan Kausar Corp. SDN BHD
2013
Kolej Pendeta Za'ba
Hak Milik Penuh Universiti Kebangsaan Malaysia
