Pemetaan Indeks Keperkasaan B40 Belia Etnik Dayak Luar Bandar di Sarawak terhadap Kerjaya dan Status Sosial Kerjaya sebagai Pekebun Kecil Kelapa Sawit

Cluster Research Grant, 2017

Abstract

Kesinambungan pekerjaan sebagai pekebun kecil daripada satu generasi ke satu generasi daripada seorang ayah kepada seorang anak ataupun daripada satu generasi tua kepada generasi muda dalam industri sawit sememangnya amat membimbangkan. Hal ini kerana ia akan memberi impak jangka masa panjang terhadap masa depan industri sawit di Malaysia terutama sekali dari segi kekurangan tenaga kerja, daya saing, aliran wang keluar negara dan kos yang meningkat. Rata-rata kajian lepas mengaitkannya dengan proses urbanisasi dan dampak globalisasi yang dipacu oleh kuasa pasaran semenjak 1980-an. Kajian-kajian yang dilakukan oleh sarjana terdahulu seperti Yusof Basiron (2014), Norliza Abdul Rahman (2014), Cheng (2000) dan Heliawaty (2015) misalannya menunjukkan bahawa penyertaan para belia dalam sektor perladangan dan kebun kelapa sawit adalah rendah dan peratusannya menurun dari tahun ke tahun. Keadaan ini menurut mereka telah memaksa pihak kerajaan untuk mengambil langkah yang melawan arus dengan mengimport para pekerja asing daripada Indonesia, Bangladesh dan Vietnam, yang akhirnya mendapat tentangan daripada masyarakat tempatan (Ahmad Raflis Che Omar et al. 2013). Langkah ini perlu diambil untuk membantu para pekebun kecil dan syarikat swasta yang berkaitan dengan kelapa sawit dalam usaha untuk memastikan kebun-kebun dan ladang-ladang yang diusahakan ini terus kekal berdaya saing dan tidak terbengkalai (Boehlje et al. 2011; Zulkifli & Zaki, 2015). Sehubungan dengan itu, objektif utama kajian ini ialah meneliti pandangan dunia belia etnik Dayak luar bandar di Sarawak terhadap kerjaya dan status sosial kerjaya sebagai pekebun kecil kelapa sawit. Objektif kedua adalah meneliti faktor yang mempengaruhi pandangan dunia belia etnik Dayak terhadap kerjaya sebagai pekebun kecil kelapa sawit. Objektif yang ketiga ialah memetakan jenis-jenis keperkasaan yang perlu disuntik dan diberi nilai tambah kepada para belia etnik Dayak di Sarawak. Seterusnya, objektif keempat ialah membangunkan indeks keperkasaan B40 belia etnik Dayak luar bandar di Sarawak terhadap kerjaya dan status sosial kerjaya sebagai pekebun kecil kelapa sawit melalui kemahiran teknikal dan keusahawanan. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui borang soal selidik dan pendekatan kualitatif melalui temubual mendalam dan perbincangan kumpulan terfokus. Jangkaan hasi kajian ini dijangka dapat membantu pihak kerajaan negeri Sarawak merangka pelan tindakan pembangunan untuk tanah NCR dan belia. Dalam masa yang sama membantu Kementerian Sumber Manusia Malaysia merangka dasar pendidikan yang lebih bersifat terarah melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha menarik minat para belia dalam industri sawit terutama sekali bagi mereka yang mempunyai kelulusan dan tahap pencapaian pendidikan yang rendah.

Project Leader

Novel Lyndon (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), novel@ukm.edu.my)