Hala Tuju Ekonomi Sekitaran di dalam Industri Minyak Sawit Malaysia

2025

Abstract

Industri minyak sawit Malaysia merupakan antara sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan eksport bernilai berbilion ringgit setiap tahun. Namun begitu, pertumbuhan ini turut menghasilkan sejumlah besar sisa buangan, terutamanya efluen kilang minyak sawit (palm oil mill effluent, POME), yang menimbulkan cabaran kelestarian kepada alam sekitar. Ringkasanya, POME ialah buangan cecair yang terhasil daripada proses pengekstrakan minyak sawit mentah (crude palm oil, CPO), dan secara purata, setiap tan CPO yang dihasilkan menghasilkan hampir tiga tan POME. Kandungan organik dan nutrien dalam POME yang tinggi menjadikannya berpotensi besar untuk dimanfaatkan dalam pendekatan ekonomi sekitaran (circular economy, CE), namun potensi ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam konteks Malaysia. Ketiadaan hala tuju strategik dan menyeluruh dalam pelaksanaan CE khusus untuk pengurusan POME di Malaysia telah mengakibatkan jurang besar dalam pengurusan sisa, dasar awam, dan inovasi teknologi. Ketika negara-negara lain telah mula merangka strategi bioekonomi dan CE berasaskan sisa pertanian dan biojisim, Malaysia masih belum mempunyai satu pelan tindakan yang khusus untuk pengurusan POME dalam kerangka CE. Situasi ini menyebabkan ketidakseragaman dalam pendekatan pengurusan POME oleh kilang sawit di seluruh negara. Bahkan, terdapat sesetengah kilang memilih untuk memproses POME kepada biogas, manakala yang lain tidak mempunyai sistem rawatan lanjutan dan hanya melaksanakan pengurusan secara konvensional yang berisiko kepada alam sekitar. Dalam beberapa kajian antarabangsa dan domestik, POME dikenalpasti sebagai bahan buangan yang mempunyai nilai ekonomi tinggi sekiranya diuruskan melalui pendekatan CE. Sebagai contoh, proses anaerobik terhadap POME menghasilkan biogas yang boleh digunakan untuk menjana tenaga elektrik atau haba yang diperlukan dalam operasi kilang. Selain itu, kandungan nutrien seperti nitrogen, fosforus dan kalium dalam POME menjadikannya sesuai untuk diproses menjadi baja bioorganik, yang boleh digunakan kembali dalam ladang kelapa sawit, sekaligus menutup kitaran sumber. Malah, terdapat penyelidikan yang menunjukkan potensi penukaran POME kepada bahan api bio seperti bioetanol atau biodiesel melalui proses bioteknologi tertentu. Namun, tanpa satu kerangka dasar atau hala tuju yang jelas, pemain dalam industri ini masih teragak-agak untuk melabur dalam teknologi ini kerana ketidakpastian dari segi pulangan, dasar insentif, dan piawaian kawal selia. Selaras dengan ini, penyelidikan ini berhasrat untuk merangka satu hala tuju strategik yang menyeluruh dan praktikal bagi pelaksanaan CE berasaskan POME dalam industri minyak sawit Malaysia. Secara keseluruhan, kajian ini mempunyai tiga objektif; RO1) mengenalpasti faktor kejayaan kritikal yang mempengaruhi pelaksanaan CE dalam pengurusan POME di industri minyak sawit Malaysia; RO2) menyusun keutamaan dan hierarki faktor kejayaan kritikal tersebut; dan RO3) merumuskan satu bentuk hala tuju strategik yang sesuai bagi pelaksanaan CE dalam pengurusan POME di peringkat nasional. Bagi mencapai kesemua objektif yang ditetapkan, pendekatan campuran yang merangkumi analisis kualitatif dan kuantitatif untuk membina satu kerangka strategik CE yang bersesuaian bagi pengurusan POME dalam industri minyak sawit Malaysia. Lima komponen utama akan dilaksanakan adalah 1) 1. kajian literatur dan polisi; 2) pemetaan nilai (value mapping); 3) analisis pelbagai kriteria (multi-criteria analysis - MCA); 4) libat urus pemegang taruh; dan 5) cadangan dasar dan pelan tindakan. Akhirnya, hasil kajian ini dijangka memberi impak yang signifikan bukan sahaja kepada kelestarian alam sekitar, tetapi juga kepada daya saing industri sawit Malaysia di peringkat antarabangsa. Dengan adanya hala tuju CE yang jelas dan berasaskan data, industri akan dapat menarik pelaburan teknologi hijau, mengurangkan pelepasan karbon, serta meningkatkan kecekapan penggunaan sumber. Di samping itu, ia akan membantu Malaysia memenuhi komitmen antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Perjanjian Paris berkaitan perubahan iklim. Sebagai kesimpulan, cadangan penyelidikan ini bukan sahaja relevan dan kritikal dari sudut akademik dan industri, malah sejajar dengan keperluan semasa negara dalam mentransformasikan sektor sawit ke arah yang lebih mampan, berdaya saing dan mesra alam. POME yang sebelum ini dianggap sebagai sisa kini berpotensi menjadi aset strategik negara dalam ekonomi hijau, dan melalui penyelidikan ini, langkah ke arah itu dapat dirintis dengan lebih sistematik dan menyeluruh.

Project Leader

Asma Qamaliah Abdul Hamid (, )