MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Kesan Pensijilan RSPO dan MSPO kepada Pengeluaran dan Analisis Perbandingan Faedah Ekonomi Perladangan Pekebun Kecil Kelapa Sawit

Grant Category, Year:  Cluster Research Grant, 2020 

Abstract

Malaysia adalah pengeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar di dunia, di mana negara menghasilkan lebih daripada 19.5 juta tan minyak sawit mentah. Pada tahun 2018, industri minyak sawit telah menyumbang sebanyak 37.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK). Ini menunjukkan bahawa industri kelapa sawit memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara dan secara tidak langsung, industri ini juga membantu meningkat pendapatan dan kesejahteraan sosioekonomi para pekebun kecil. Namun, kempen anti minyak sawit Malaysia oleh negara-negara Eropah sedikit sebanyak memberi kesan kepada pekebun kecil. Tanggapan masyarakat antarabangsa bahawa kegiatan penanaman kelapa sawit di Malaysia adalah tidak mampan dan menjejaskan ekosistem semulajadi adalah tidak adil dan tidak benar sama sekali. Bagi terus kekal kompetitif, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa semua yang terlibat dengan aktiviti penanaman kelapa sawit termasuk pekebun kecil, wajib mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjelang akhir tahun 2019. Ini bagi memastikan minyak kelapa sawit negara diiktiraf sebagai mampan, selamat dan berkualiti. Walaubagaimanapun, dilaporkan masih ramai pekebun kecil yang belum mendapatkan pensijilan MSPO. Bagi menggalakkan lebih ramai pekebun kecil berusaha ke arah melestarikan tanaman kelapa sawit mereka, maka kajian ini dilihat perlu dan tepat pada masanya. Penyelidikan kuantitatif melalui soal selidik akan dijalankan, di mana 400 orang pekebun kecil di seluruh Malaysia akan ditemubual. Data kemudiannya akan dianalisis menggunakan Faktor Analisis dan Model Persamaan Struktur (Structural Equation Modeling – SEM) bagi melihat hubungan antara pelbagai pembolehubah. Dapatan kajian diharapkan dalam memberi input kepada MPOB dan kerajaan Malaysia bagi merangka pelan strategik dan polisi yang dapat membantu meningkatkan sosioekonomi para pekebun kecil di Malaysia disamping mempromosikan minyak kelapa sawit yang lebih lestari.

Project Leader

Norshamliza Chamhuri (Faculty of Economics and Management, )