MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Model Pembelajaran dalam Talian Mampan untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit Berdasarkan Pendekatan Berasaskan Budaya bagi Meningkatkan Keterlibatan dan Komitmen Generasi Milenial

Grant Category, Year:  Small Research Grant, 2022 

Abstract

Pembelajaran dalam talian telah lama diimplementasikan dalam sistem pendidikan pertanian di Malaysia, namun keterlibatan dan komitmen generasi milenial terhadap sektor pertanian masih lagi lemah walaupun pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan baharu di sektor pertanian yang telah wujud. Tambahan, isu ini ketara untuk generasi milenial yang bakal menjadi pelapis kepada pekebun kecil kelapa sawit kini yang hampir tempoh persaraan. Jika isu ini dibiarkan berlarutan, ia boleh menjejas rangkaian pengeluran makanan di Malaysia, terutama untuk industri yang berasaskan kelapa sawit. Berdasarkan kajian lepas, reka bentuk antara muka memainkan peranan yang penting bagi menggalakkan keterlibatan dan komitmen generasi milenial terhadap pembelajaran dalam talian. Tambahan pula, faktor utama kegagalan keterlibatan dan komitmen generasi milenial terhadap pembelajaran dalam talian adalah disebabkan oleh reka bentuk antara muka yang lemah. Kajian lepas juga menyatakan bahawa keterlibatan dan komitmen adalah berkait rapat dengan latar belakang budaya generasi milenial. Selain itu, kekurangan garis panduan yang berdasarkan pendekatan berasaskan budaya yang khusus terutamanya untuk sektor pertanian di Malaysia menjadi kekangan untuk pembangunan antara muka yang lebih efektif dan efisyen bagi meningkatkan keterlibatan dan komitmen generasi milenial. Oleh yang demikian, elemen budaya harus dititikberatkan. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti ciri-ciri budaya pelajar generasi milenial di Malaysia berdasarkan kepada analisis model budaya Hofstede yang akan membentuk model pembelajaran dalam talian mampan berdasarkan pendekatan berasaskan budaya bagi meningkatkan keterlibatan dan komitmen generasi milenial terhadap sektor pertanian. Bagi menjayakan penyelidikan ini, empat fasa utama telah dikenal pasti. Fasa pertama bertujuan untuk mengenalpasti ciri-ciri budaya generasi milenial untuk sektor pertanian melalui analisis model budaya Hofstede. Fasa kedua bertujuan untuk mengenalpasti elemen antara muka platform pembelajaran dalam talian yang sesuai untuk generasi milenial untuk diaplikasikan bagi sektor pertanian. Fasa ketiga melibatkan pembangunan model yang dicadangkan. Fasa keempat memfokuskan kepada pengesahan dan penambahbaikan model yang dicadangkan menerusi penilaian pakar. Di akhir kajian ini, sebuah model pembelajaran dalam talian mampan berdasarkan pendekatan berasaskan budaya yang mengandungi faktor kejayaan kritikal dan garis panduan bersesuaian untuk sektor pertanian, terutamanya pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia. Maka, model cadangan ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada pembangun antara muka yang dapat meningkatkan keterlibatan dan komitmen pelajar generasi milenial terhadap pembelajaran dalam talian untuk sektor pertanian di Malaysia. Di samping itu, diharapkan generasi milenial boleh mempelajari pendekatan terkini secara mampan yang berkaitan penanaman kelapa sawit dan menceburi peluang lain untuk mempelbagaikan sumber pendapatan sebagai pekebun kecil kepala sawit melalui pembelajaran dalam talian mampan yang berdasarkan pendekatan berasaskan budaya. Secara tidak langsung, ini mampu meningkatkan produktiviti dan taraf sosioekonomi pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia. Diharapkan supaya lebih ramai generasi milenial akan berminat dan menjadi pelapis kepada pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia.

Project Leader

Dalbir Singh Valbir Singh (, )