Modul Integrasi Keusahawanan Sawit untuk Veteran ATM: Strategi Transformasi Kerjaya Dalam Industri Sawit

2025

Abstract

Industri sawit negara kini berhadapan dengan isu kekurangan tenaga buruh yang berterusan, terutama dalam kalangan pekebun kecil persendirian (PKP) yang rata-ratanya berusia dan tidak lagi mampu menguruskan kebun secara fizikal. Kebergantungan tinggi kepada buruh asing bukan sahaja menjejaskan kecekapan operasi, malah mendedahkan sektor ini kepada risiko ketidakstabilan tenaga kerja. Dalam masa yang sama, pada setiap tahun kira-kira 5,000 hingga 7,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menamatkan perkhidmatan mereka dengan sebahagian daripada jumlah tersebut masih berada dalam usia produktif dan memiliki potensi untuk diserap ke dalam sektor pertanian. Namun, ketiadaan modul latihan yang khusus dan berstruktur menyebabkan proses peralihan kerjaya ke dalam industri sawit sukar dilaksanakan secara sistematik. Modul ini dibina untuk menjadikan veteran ATM sebagai usahawan (kontraktor) sawit tanpa memerlukan pemilikan tanah untuk tanaman sawit. Oleh itu, kajian ini akan:

(i) menganalisa latar belakang dan faktor mempengaruhi veteran ATM bagi pemilihan kerjaya dalam
sektor sawit,
(ii) membangunkan modul integrasi usahawan sawit yang berkesan kepada veteran ATM.

Kajian ini merupakan sebuah kajian keratan rentas yang dilaksanakan di Malaysia dan direka bentuk untuk memenuhi objektif pembangunan modul integrasi usahawan sawit bagi bakal veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pendekatan penyelidikan yang digunakan ialah Design-Based Research (DBR) yang merangkumi beberapa fasa pelaksanaan secara berperingkat seperti analisis keperluan, pembangunan modul dan lain-lain. Kajian ini mengaplikasikan kaedah campuran (mixed-method) dengan melibatkan kombinasi pendekatan kuantitatif dan kualitatif bagi memastikan triangulasi data dan ketepatan dapatan. Pendekatan kuantitatif dilaksanakan dengan kaedah pengumpulan data melibatkan penggunaan soal selidik dan temu bual separa berstruktur kepada bakal veteran ATM. Bakal veteran ATM yang menjadi responden kajian ini merupakan individu yang akan memasuki fasa peralihan kerjaya melalui penyertaan dalam kursus peralihan di bawah kelolaan PERHEBAT. Saiz sampel bagi pendekatan kuantitatif ditetapkan sebanyak 357 responden dan dipilih berdasarkan pendekatan pensampelan rawak. Manakala, pendekatan kualitatif dijalankan ke atas wakil daripada PERHEBAT dan PLASMA Keratong. Kaedah persampelan bagi populasi ini adalah persampelan bertujuan.

Hasil penyelidikan ini dijangka menghasilkan satu modul latihan berstruktur dan kontekstual yang boleh diguna pakai secara rasmi dalam program latihan peralihan kerjaya veteran ATM ke sektor sawit. Modul ini akan menyokong peningkatan kebolehpasaran golongan veteran ATM, membantu mengisi jurang tenaga kerja dalam sektor sawit, serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi rakyat melalui Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG1, SDG2, SDG4 dan SDG8.

Project Leader

Norlida Hanim Mohd Salleh (Faculty of Economics and Management, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ida@ukm.edu.my)

Nurul Atiqah Mohd Suib (Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), atiqah@upnm.edu.my)