Pembangunan Indeks Kelestarian Alam Sekitar Dan Sosioekonomi Bagi Pelatih Muda Industri Sawit Melalui Skala Multidimensi (MDS)

2025

Abstract

Industri minyak sawit Malaysia terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kekal sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia. Namun begitu, industri minyak sawit masih bergelut dengan isu pergantungan kepada warga asing ekoran daripada kurangnya sambutan daripada generasi muda. Pelaksanaan pensijilan Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO) telah banyak mengubah lanskap industri sawit ke arah kelestarian alam sekitar dan sosioekonomi. Namun begitu, kajian lepas menunjukkan pemahaman tentang pensijilan MSPO adalah faktor kritikal yang mempengaruhi penggunaannya dalam kalangan pekebun kecil bebas dan masih ramai yang tidak mengetahui faedah dan keperluannya. Jurang kesedaran ini menunjukkan keperluan untuk mewujudkan dasar dan sistem sokongan yang lebih khusus untuk memudahkan peralihan generasi muda ke arah amalan kelestarian dalam industri kelapa sawit Malaysia. Pada masa ini, penyelidikan empirikal mengenai pemahaman pelatih muda industri sawit terhadap dimensi kelestarian alam sekitar dan cabaran sosio-ekonomi masih terhad di Malaysia. Penskalaan Multi Dimensi (Multidimensional Scaling - MDS) telah dibuktikan sebagai alat pengukuran yang boleh membentuk indeks kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam kalangan pekebun kecil sawit. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk membangunkan indeks kelestarian meliputi dimensi alam sekitar, ekonomi, sosial, teknologi dan institusi dalam kalangan pelatih muda industri sawit. Kajian ini juga bertujuan melihat status semasa pemahaman pelatih muda ini dalam konteks kelima-lima dimensi tersebut seterusnya membangunkan syor-syor bagi penambahbaikan dasar-dasar berkaitan sedia ada. Kajian akan melibatkan 341 orang responden yang terdiri daripada pelatih pusat latihan MPOB di Keratong, Pahang dan Lahad Datu, Sabah. Alat pengukuran utama yang digunakan dalam kajian ini adalah analisis Skala Multidimensi (MDS) yang akan diukur dengan perisian SPSS. Keputusan analisis MDS akan dikelaskan kepada empat tahap kelestarian iaitu (i) tidak lestari (ii) kurang lestari (iii) agak lestari, dan (iv) lestari. Hubungan interaksi antara kelima-lima dimensi kelestarian (alam sekitar, ekonomi, sosial, teknologi dan alam sekitar) akan ditunjukkan dalam bentuk carta radar. Data kualitatif akan dianalisis secara tematik dan menggunakan perisian NVivo. Pada akhir peringkat analisis data, data kuantitatif dan kualitatif akan ditriangulasi bagi memberikan konteks kepada dimensi-dimensi yang telah ditetapkan menerusi MDS. Secara keseluruhannya, kajian ini bukan sahaja mengisi kekosongan ilmu pengetahuan tetapi juga berfungsi sebagai rujukan penting untuk penambahbaikan dasar dan polisi sedia ada berdasarkan kepada pengukuran yang dilaksanakan terhadap generasi muda itu sendiri. Metodologi kajian pula boleh direplikasi melibatkan kumpulan pemegang taruh yang lain dan perbandingan boleh dibuat untuk melihat kecenderungan indeks kelestarian mengikut kumpulan pemegang taruh. Penemuan dari kajian ini boleh mencadangkan perubahan dalam dasar kerajaan seperti penambahbaikan mekanisme pemantauan mengikut dimensi kelestarian, pelaksanaan program latihan dan sokongan, serta inisiatif pengukuhan kapasiti dalam industri ini. Seterusnya, hasil kajian mampu meningkatkan keupayaan generasi muda dan juga pekebun kecil dalam menggerakkan transformasi sektor sawit ke arah model pertanian yang lebih lestari dan inklusif.

Project Leader

Siti Dina Razman Pahri (Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sitidina@ukm.edu.my)