MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Pembangunan Modal Sosial dalam Meningkatkan Produktiviti Perladangan Pekebun Kecil Sawit (PKS)

Grant Category, Year:  Cluster Research Grant, 2020 

Abstract

Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan status ekonomi Pekebun Kecil Sawit di Malaysia yang merangkumi bantuan modal fizikal, kewangan serta penambahbaikan modal manusia dalam industri sawit. Namun begitu, kajian mendapati kebergantungan hanya kepada modal ini tidak mencukupi bagi menjamin prestasi ekonomi. Elemen modal sosial diperlukan bagi melengkapkan keupayaan untuk aktiviti ekonomi dilaksanakan dengan produktif. Modal sosial secara umumnya merujuk kepada hubungan atau jaringan sosial yang dimiliki oleh komuniti yang merangkumi hubungan kerjasama, norma sosial, sikap saling timbalbalik dan kepercayaan. Terdapat 3 kategori modal sosial iaitu bonding, bridging dan linking yang merujuk kepada jaringan sosial yang dimiliki komuniti. Keberadaan modal ini dalam komuniti dapat membantu meningkatkan keupayaan komuniti untuk menggerakkan aset yang ada dalam komuniti serta meningkatkan potensi komuniti dalam meningkatkan ilmu, teknologi dan juga kemahiran. Modal sosial ini juga membantu dalam meningkatkan keupayaan komuniti untuk melaksanakan tindakan secara kolektif yang mana keadaan ini akan memudahkan perlaksanaan program intervensi bagi komuniti tersebut. Sehubungan itu kajian ini bertujuan untuk meneliti sejauhmana Pekebun Kecil sawit memiliki modal sosial dalam melaksanakan aktiviti penanaman sawit mereka dan bagaimana modal ini mempengaruhi produktiviti perladangan sawit. Kajian kuantitatif dengan kaedah survei akan dijalankan terhadap PKS di negeri Johor dan Sabah bagi mencapai objektif kajian ini. Seramai 400 PKS akan diberikan borang soalselidik bagi mengukur tahap modal sosial bonding, bridging dan linking mereka serta menganalisa hubungan modal sosial ini dengan produktiviti penanaman sawit yang dijalankan. Analisa min akan mengukur tahap setiap kategori modal sosial yang dimiliki oleh PKS dan analisa regresi akan mengkaji hubungan pengaruh setiap kategori modal sosial tersebut dengan produktiviti para PKS. Hasil kajian akan memberi indikator kekuatan modal sosial yang ada pada komuniti PKS yang dikaji dan sejauh mana modal ini menyumbang kepada produktiviti aktiviti penanaman sawit.

Project Leader

Sarmila Md Sum (Faculty of Social Sciences and Humanities, sarmila.mdsum@ukm.edu.my)