MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Pembangunan Model Produktiviti Buruh Pekebun Kecil Kelapa Sawit di Sarawak

Grant Category, Year:  Cluster Research Grant, 2020 

Abstract

Produktiviti adalah merupakan perkara yang sangat penting dalam industri sawit kerana ia memberi pengaruh yang sangat besar terhadap prestasi keseluruhan industri tersebut. Dari segi konsepnya, produktiviti merujuk kepada hubungan antara output yang dihasilkan oleh sistem produksi atau perkhidmatan dan input yang disediakan untuk menghasilkan output ini (Arif et al. 2015). Oleh itu, produktiviti ditakrifkan sebagai penggunaan sumber atau input yang cekap merangkumi buruh, modal, tanah, bahan, teknologi, tenaga dan maklumat bagi menghasilkan perkhidmatan yang cekap dan akhirnya menghasilkan output yang berkualiti. Dalam kajian ini, isu utama yang diberi perhatian ialah tentang produktiviti buruh pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak terhadap pengeluaran buah kelapa sawit yang berkualiti dan memberi pulangan yang setara dengan jumlah saiz kebun yang dimiliki oleh para pekebun kecil ini. Hal ini kerana produktiviti dilihat sebagai penggunaan sistem produksi yang lebih intensif seperti sumber tenaga kerja dan mesin yang seharusnya dapat menunjukkan pulangan prestasi atau kecekapan bersesuaian dengan saiz kebun dan masa yang diperuntukkan. Bertitik tolak daripada itu, objektif utama kajian ini ialah memahami konsep buruh menurut pandangan dunia para pekebun kecil dan sejauhmanakah pemahaman mereka tentang konsep buruh mempengaruhi jenis buruh dan nisbah buruh yang ideal digunakan dalam mengerjakan kebun kelapa sawit milik mereka. Objektif kedua kajian ini ialah untuk meneliti strategi produksi yang digunakan oleh para pekebun kecil kelapa sawit dalam menghasilkan pengeluaran yang berkualiti bersesuaian dengan saiz kebun kelapa sawit mereka. Seterusnya, objektif ketiga kajian ini ialah menganalisa sama ada wujud perbezaan produktiviti antara buruh berasaskan keluarga dan buruh asing atau buruh berdasarkan upah. Akhir sekali objektif keempat kajian ialah membangunkan model produktiviti buruh pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah gabungan pendekatan kuantitatif dan kualitatif.

Project Leader

Novel Lyndon (Faculty of Social Sciences and Humanities, novel@ukm.edu.my)