Peranan Akademik dan Saintis untuk Perlaksanaan Ekonomi Kitaran di Malaysia

15 April 2025 – Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed sekali lagi diberi kepercayaan bagi membuka tirai Diskusi KASES 1/2025 dengan ceramah bertajuk “Peranan Akademik dan Saintis untuk Pelaksanaan Ekonomi Kitaran di Malaysia”. Diskusi yang berdurasi sekitar 2 jam ini telah diadakan di Bilik Kuliah Utama LESTARI, UKM dan dimeriahkan dengan penyertaan 20 orang peserta. Antara perkara penting yang ditekankan oleh beliau dalam Diskusi pada kali ini adalah mengenai kelebihan konsep Ekonomi Kitaran. Menurut beliau, konsep ini memfokuskan kepada inisiatif bagi memastikan ketersediaan sumber asli yang terhad untuk memenuhi keperluan industri dan pengguna, yang mana jauh lebih baik daripada konsep Ekonomi Linear yang menyebabkan kekurangan sumber dan menggalakkan pembaziran sumber.

Di akhir Diskusi, Prof. Ahmad Fariz sempat memberi peringatan kepada para peserta bahawa semua ahli akademik dan saintis memainkan peranan penting dalam membina, membangun, menyampai serta memantapkan pengetahuan dan teknologi yang amat penting untuk keberkesanan amalan Ekonomi Kitaran. Beliau menyeru agar ahli akademik dan saintis, agensi-agensi kerajaan, pihak industri dan syarikat swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan masyarakat umum berkerjasama dalam mempromosi serta melaksanakan Ekonomi Kitaran di Malaysia terutamanya dalam membina dan menyampaikan pengetahuan serta ilmu penggunaan teknologi bagi menggalakkan aktiviti ekonomi dan inisiatif sosial dalam kalangan umum.

Disediakan oleh Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed & Ku Adriani Ku Ayob
15 April 2025