Siri Kedua Diskusi KASES Tekankan Kepentingan SIA dalam Menjamin Kesejahteraan Sosial Masyarakat

30 September 2025 – Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES) meneruskan tradisi keilmuan melalui penganjuran Diskusi KASES 2/2025 bertajuk “Social Impact Assessment – Managing Potential Social Consequences of Development Projects, Policies and Plans in Malaysia” yang diadakan di Bilik Kuliah Utama LESTARI, UKM bermula dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Diskusi dikendalikan oleh Dr. Rospidah Ghazali selaku Moderator manakala Penceramah Jemputan untuk siri kedua ini adalah TPr. Herlina Ab. Aziz, Presiden Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia (MSIA). Beliau telah memegang jawatan Presiden sejak tahun 2019 dan memainkan peranan penting dalam merangka dasar dan memperkukuh pelaksanaan SIA di Malaysia. Selain daripada itu, beliau juga merupakan Perancang Bandar bertauliah dan Pakar Perlindungan Sosial yang berpengalaman luas di Malaysia dan Indonesia.

Intipati Diskusi ini adalah bertumpu kepada kepentingan SIA dalam memastikan projek pembangunan, perancangan dan dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan kesejahteraan sosial. SIA mengenal pasti kesan positif dan negatif sesuatu projek terhadap kehidupan penduduk setempat, termasuk aspek sosial, ekonomi, budaya dan kesihatan. Melalui SIA juga, pihak pemaju dan kerajaan dapat memahami kebimbangan masyarakat yang mungkin terkesan – seperti isu penempatan semula, kehilangan sumber pendapatan, atau perubahan gaya hidup sekaligus dapat merancang langkah mitigasi yang sesuai.

Seramai 30 peserta daripada pelbagai agensi hadir termasuklah pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pegawai dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia@Selangor), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ahli Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia (MSIA) serta pegawai dari syarikat perunding perancangan dan kejuruteraan. Penganjuran Diskusi KASES ini merupakan aktiviti yang terhasil daripada kerjasama rasmi antara KASES dan MSIA yang telah dimeterai melalui Surat Hasrat (LoI) antara LESTARI, UKM dan MSIA pada 15 Mei 2025.
Disediakan oleh Ku Adriani Ku Ayob
30 September 2025