Syarahan Canselor Tuanku Muhriz Ke-7: Menyoroti Solidariti Serantau dan Agenda Pembangunan Mampan

29 Oktober 2025 – Syarahan Canselor Tuanku Muhriz ke-7 bertajuk “Timor Leste’s Accession to ASEAN: An Act of Regional Solidarity in a Fracturing World” yang berlangsung pada di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menekankan kepentingan solidariti serantau dalam menghadapi cabaran global. Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão menegaskan bahawa melalui rangka ASEAN, negaranya komited untuk menyumbang kepada kemajuan rantau ini dalam bidang pertanian mampan, perikanan berdaya tahan, infrastruktur moden dan inovasi digital. Beliau turut menyatakan bahawa keanggotaan ASEAN membawa makna sosial dan ekonomi yang mendalam kepada rakyat Timor-Leste, mencerminkan perpaduan dan komitmen terhadap keamanan serta kesejahteraan serantau.

Syarahan ini turut dihadiri oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh. Dalam konteks ini, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI-UKM) terus memainkan peranan penting dalam mendukung agenda pembangunan mampan serantau melalui penyelidikan berimpak tinggi, pembentukan dasar berasaskan bukti dan pengukuhan jaringan ilmiah bagi merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bangsa-Bangsa Bersatu.

Disediakan oleh Dr. Nor Diana Mohd Idris
29 Oktober 2025