Semarak Aidilfitri LESTARI UKM 2025: Erat Silaturahim, Kukuh Keakraban

18 April 2025 – Semangat Aidilfitri sekali lagi dirasakan dan dilihat meriah di kampus UKM apabila LESTARI UKM menganjurkan Majlis Rumah Terbuka & Sambutan Hari Raya 2025 baru-baru ini. Warga kampus, pensyarah, kakitangan, pelajar dan alumni berkumpul untuk menikmati pelbagai juadah tradisional seperti ketupat, rendang dan kuih-muih yang di bawa oleh seluruh kakitangan LESTARI sambil beramah mesra. Suasana bertambah meriah dengan persembahan nyanyian lagu raya oleh penyanyi jemputan yang ditaja oleh En. Bisharuzi Omar, Ketua Pegawai Sains LESTARI. Lagu-lagu raya yang berkumandang sepanjang majlis ini pastinya mengundang pelbagai kenangan dalam diri setiap tetamu yang hadir, mengukir senyuman di wajah-wajah mereka.

Majlis ini menjadi ruang kesempatan kepada seluruh tetamu dalam mengeratkan silaturahim dan meraikan Syawal bersama-sama, sambil mengekalkan semangat UKM yang inklusif dan mesra. Acara ini bukan sahaja meriah dan penuh warna-warni, tetapi juga menjadi platform untuk menjalin hubungan persaudaraan, memupuk ukhwah dan meraikan kepelbagaian budaya dalam komuniti UKM. Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin diucapkan kepada semua!

Disediakan oleh Nur Amira Ahmad
18 April 2025