Dialog LESTARI 2025 Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-31

1 Oktober 2025 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Dialog LESTARI bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-31 LESTARI pada tahun ini. Program yang berlangsung di Auditorium Akademia Siber Teknopolis (AST) kali ini bertemakan “Kelestarian Akademik: Antara KPI dan Kreativiti Ilmuan.” Dialog ini bertujuan membuka ruang wacana ilmiah tentang keseimbangan antara tuntutan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kreativiti akademik dalam memastikan kelestarian ilmu serta pembangunan institusi akademik yang mampan. Program ini juga menjadi platform bagi para ilmuan dan warga akademia untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta cadangan ke arah memperkukuh budaya ilmu yang lestari di universiti.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah LESTARI menyatakan bahawa sambutan ulang tahun kali ini bukan sahaja meraikan pencapaian institut selama 31 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1994, tetapi juga sebagai manifestasi komitmen LESTARI dalam terus menerajui penyelidikan dan pembangunan lestari di peringkat nasional serta antarabangsa. Program ini turut dihadiri oleh warga LESTARI, staf akademik dan penyelidik dari pelbagai fakulti UKM serta wakil institusi luar.

Sesi dialog diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif yang menyemarakkan lagi perbincangan mengenai cabaran dan peluang dalam dunia akademik masa kini. Sambutan 31 Tahun LESTARI menandakan perjalanan panjang institut ini sebagai pusat rujukan dalam bidang kelestarian, selaras dengan visinya untuk memupuk pembangunan lestari melalui penyelidikan, latihan dan advokasi ilmu. Selamat maju jaya LESTARI!!

Disediakan oleh Nur Amira Ahmad
1 Oktober 2025