Dari Selangor ke Osaka: Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) Curi Tumpuan di Ekspo 2025, Jepun

5 Mei 2025 – Detik yang cukup membanggakan buat Malaysia apabila Prof. Madya Dr. Tanot Unjah diberi kepercayaan oleh Tourism Selangor untuk mewakili negeri dalam Program Siri Promosi Pelancongan Luar Negara, bersempena dengan penganjuran Ekspo 2025, Osaka, Jepun yang penuh prestij. Penyertaan beliau merupakan sebahagian daripada Minggu Negeri Selangor, yang berlangsung dari 5 hingga 9 Mei 2025 di Malaysia Pavillion, Aichi Sky Expo, dan telah berjaya menarik perhatian ramai pengunjung antarabangsa. Sebagai pakar dan penyelidik berpengalaman daripada LESTARI, Dr. Tanot tampil penuh bersemangat di pentas utama pada 5 Mei sambil memperkenalkan Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) – sebuah kawasan yang kaya dengan keajaiban alam semulajadi dan warisan budaya serta berpotensi besar dalam sektor geopelancongan.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan keunikan dan kepelbagaian produk dan tarikan pelancongan kepada pasaran antarabangsa, sekaligus meletakkan Selangor sebagai antara destinasi pelancongan pilihan terkemuka di Malaysia. Penyertaan Dr. Tanot dalam acara ini turut menyerlahkan kredibiliti, kecemerlangan dan peranan penyelidik LESTARI dalam menjalankan penyelidikan berkaitan geopark dan pemuliharaan warisan di Malaysia. Kolaborasi erat di antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, Invest Selangor Berhad, Tourism Selangor dan GHLGp menjadi tulang belakang kejayaan ini, seterusnya membuktikan komitmen semua pihak dalam memperkenalkan Selangor ke persada dunia. “Kita bukan sekadar nak tunjuk tempat-tempat menarik. Kita juga ingin serlahkan siapa kita, dan warisan yang kita pelihara,” kata beliau.

Disediakan oleh Nazren Leman
5 Mei 2025