Gabung Kepakaran, Gerak Bersama: KPU GEOPARK Perkasa Pembangunan Geopark dan Geopelancongan

27 Mei 2025 – Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) telah menganjurkan Bengkel Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU): Pembangunan Geopark dan Geopelancongan dan Pembangunan Program SKUM bertempat di Bangi Resort Hotel, Selangor. Bengkel sehari ini menghimpunkan penyelidik dari pelbagai bidang bagi memperkukuh peranan universiti dalam memajukan bidang geopark dan geopelancongan di Malaysia. Program ini bertujuan merangka pelan tindakan strategik KPU dalam bidang geopark dan geopelancongan, menyelaras kepakaran ahli serta mengenal pasti peluang penyelidikan dan kolaborasi bersama agensi kerajaan, komuniti setempat dan pihak industri. Penganjuran bengkel ini turut menekankan kepentingan pendekatan antara disiplin dalam memelihara warisan geologi serta memanfaatkan sumber semula jadi secara lestari untuk pembangunan sosio-ekonomi komuniti. Melalui platform ini, PPG LESTARI berhasrat memperkukuh jaringan penyelidikan dan membina asas kukuh bagi penghasilan produk inovatif yang menyokong agenda pembangunan lestari geopark negara.

Sebagai salah satu inisiatif susulan bengkel ini, KPU Pembangunan Geopark dan Geopelancongan turut melaksanakan pembangunan laman sesawang khas yang dibiayai melalui Program Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM). Laman sesawang ini bakal menjadi platform utama untuk mempromosikan dan menyebarluaskan maklumat mengenai Geopark dan UNESCO Global Geopark di Malaysia, termasuk aktiviti penyelidikan, inovasi serta kolaborasi universiti bersama rakan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa. Platform digital ini juga diharap dapat mempertingkat keterlihatan peranan UKM sebagai peneraju akademik dalam bidang geopark dan geopelancongan negara. Bengkel ini telah memberikan beberapa impak penting, antaranya memperkukuh penyelarasan strategik penyelidikan dalam kalangan ahli KPU, mewujudkan kolaborasi pelbagai disiplin antara penyelidik serta meningkatkan keupayaan LESTARI-UKM sebagai institusi peneraju dalam pembangunan geopark di Malaysia. Selain itu, bengkel ini turut membuka peluang baharu dalam pembiayaan dan kolaborasi penyelidikan, menyokong pembangunan komuniti setempat melalui pendekatan geopelancongan lestari serta menjadi asas kepada penghasilan produk dan inovasi yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan mampan negara.

Disediakan oleh Wan Daraputri Razali
27 Mei 2025