Pre-Kolokium Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG) Tingkat Kualiti Pembentangan dan Penyelidikan Pelajar

23 September 2025 – Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Sesi Pre-Kolokium PPG 2025 secara atas talian. Program ini melibatkan penyertaan tujuh orang pelajar Doktor Falsafah (PhD) dan seorang pelajar Sarjana yang membentangkan kemajuan penyelidikan masing-masing di hadapan panel akademik daripada PPG.
Pre-kolokium ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk mempersembahkan kemajuan projek pengajian mereka serta mendapatkan maklum balas awal daripada penyelia dan penyelidik berpengalaman sebelum sesi Kolokium LESTARI yang berlangsung pada 15 Oktober 2025. Melalui sesi ini, pelajar dapat menambah baik kandungan, struktur dan gaya penyampaian pembentangan agar lebih mantap dan berkualiti. Kesemua pelajar menunjukkan tahap kerjasama dan komitmen yang tinggi sepanjang sesi berlangsung. Para akademik memberikan pandangan dan cadangan yang membina bagi membantu pelajar memperkemaskan lagi reka bentuk kajian, pendekatan metodologi serta analisis hasil penyelidikan.

Penganjuran pre-kolokium ini memberi impak positif yang besar kepada pelajar. Melalui sesi pembentangan dan maklum balas yang diterima, pelajar dapat meningkatkan kefahaman terhadap hala tuju penyelidikan masing-masing serta memperkukuh kemampuan analisis dan penulisan akademik. Selain itu, aktiviti ini turut membantu pelajar membina keyakinan diri dalam menyampaikan hasil penyelidikan secara profesional dan berkesan di hadapan panel penilai. Interaksi langsung dengan penyelia dan penyelidik pelbagai bidang juga mewujudkan ruang pembelajaran yang dinamik, sekali gus memperkayakan pengalaman akademik pelajar.
Di samping itu, pre-kolokium ini turut menggalakkan budaya akademik yang sihat berasaskan penambahbaikan berterusan dan semangat kolaborasi antara pelajar dan penyelidik. Ia menjadi platform penting bagi pelajar untuk mengasah kemahiran komunikasi ilmiah, memperkukuh hubungan akademik dan memupuk semangat penyelidikan berpasukan dalam kalangan warga PPG. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti penyelidikan dan pembentangan pelajar, tetapi juga menyumbang kepada usaha LESTARI-UKM dalam melahirkan penyelidik muda yang kompeten, berdaya saing, dan berwibawa di peringkat nasional serta antarabangsa.
Disediakan oleh Wan Daraputri Razali
23 September 2025