Melindungi Generasi Masa Depan: Sumbangan UKM dalam Pemantapan Indeks Risiko Iklim dan Bencana Kanak-Kanak (CCDRI)

6 November 2025 – Satu sesi Briefing and Roundtable Discussion telah berlangsung secara bersemuka untuk memperkenalkan dan memperkukuh pemahaman tentang Children’s Climate and Disaster Risk Index (CCDRI). Program ini dianjurkan oleh UNICEF Malaysia dan UNICEF Regional Office dengan kerjasama institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan, dan merupakan satu inisiatif UNICEF untuk menilai tahap pendedahan dan kerentanan kanak-kanak terhadap risiko iklim serta bencana. CCDRI membantu negara membangunkan dasar dan tindakan berasaskan data bagi melindungi kesejahteraan generasi muda daripada kesan perubahan iklim. Agenda utama sesi ini termasuk pembentangan model CCDRI awal, semakan data sedia ada, perbincangan jurang data dan penetapan langkah penambahbaikan seterusnya.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwakili oleh tiga pakar: Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad (pakar Pengurangan Risiko Bencana), Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin (pakar Kesihatan Alam Sekitar) dan Dr. Nor Diana Mohd Idris (pakar Sosioekonomi dan Alam Sekitar). Deligasi daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) ini memainkan peranan penting dalam menghubungkan aspek sains, sosioekonomi dan polisi ke arah pembangunan CCDRI peringkat sub-nasional Malaysia. Penyertaan ini membuka ruang kolaborasi strategik antara UKM dan UNICEF dalam memperkukuh indikator sosioekonomi, kesihatan dan risiko bencana berasaskan kanak-kanak di Malaysia. Ia berpotensi menyumbang kepada pembangunan inklusif dan penghasilan evidence-based research bagi pelan adaptasi iklim nasional yang berfokus kepada generasi masa depan.

Disediakan oleh Dr. Nor Diana Mohd Idris
6 November 2025