Edisi Khas Geoheritage and Geopark Virtual Forum 2025 Tampilkan Setiausaha Agung GGN

3 Disember 2025 – Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM saban tahun meneruskan penganjuran siri Geoheritage and Geopark Virtual Forum sebagai wadah penting di peringkat antarabangsa dalam perkongsian ilmu dan amalan berkaitan pembangunan geopark. Di penghujung tahun 2025, PPG sekali lagi menjalin kerjasama erat bersama Persatuan Geologi Malaysia (GSM); Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-ALAF), UKM; dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM) bagi menjayakan satu edisi khas forum, kali ini menampilkan Prof. Dr. Nickolas Zouros, Setiausaha Agong, Global Geoparks Network (GGN) sebagai panelis.
Bertemakan tajuk “The Role of Geoscientists in Geopark Development”, forum yang dianjurkan secara atas talian ini telah berjaya menarik minat dan menghimpunkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada barisan komuniti dan pihak industri serta cerdik pandai, pengamal dan pemegang taruh geopark dari pelbagai negara termasuk Filipina, Indonesia, China, Maghribi, Taiwan, Thailand, Tanzania, Afrika Selatan, Cameroon, Jepun, Timor-Leste dan Kenya. Menariknya, forum ini turut disertai oleh peserta dari negara-negara yang belum termasuk di dalam jaringan geopark UNESCO seperti India, Mesir dan Iraq, membuktikan kepentingan inisiatif geopark itu sendiri sebagai platform global dalam mengintegrasi pemuliharaan warisan, pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan aspek pendidikan.

Para peserta menyambut baik tajuk yang dibawakan dalam edisi kali ini, terutamanya wakil-wakil dari pihak industri/swasta dan ahli geologi yang benar ingin mengetahui bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kejayaan inisiatif pembangunan geopark di tempat masing-masing. Moderator forum, Prof. Madya Dr. Tanot Unjah dilihat tidak menang tangan dalam mengendalikan soalan-soalan yang berterusan ditujukan kepada Prof. Nickolas, sejurus selepas pembentangan beliau. Dalam tempoh lebih kurang dua jam sesi berlangsung, Prof. Nickolas sempat menggariskan peranan-peranan yang sesuai dimainkan oleh ahli-ahli geologi, mahu pun komuniti setempat dalam sesebuah geopark khususnya dalam memainkan peranan sebagai penjaga warisan alam dan budaya, nilai-nilai tradisi dan ilmu tempatan. Bagi mereka yang mempunyai ilmu geologi, Prof. Nickolas turut menyarankan agar mereka menyertai kumpulan-kumpulan saintifik dalam kerangka sesebuah geopark bagi mengembangkan lagi ilmu sains geopark melalui penyelidikan secara berterusan.

Disediakan oleh Nazren Leman
3 Disember 2025