Memperkemas Tatacara Pemeriksaan Infopanel, Galeri dan Dossier untuk Penilaian Geopark Kebangsaan

26 April 2025 – Semenjak penubuhan Jawatankuasa Pelaksana Geopark bagi menyokong Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Malaysia pada tahun 2013 di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), jawatankuasa ini bertindak membangunkan bahan-bahan sokongan pembangunan geopark kebangsaan dalam bentuk garis panduan, bengkel-bengkel pengukuhan penilai, pelan pembangunan geopark, pelan pengurusan geopark dan sebagainya di peringkat Persekutuan.
Pada 25-27 April 2025, satu lagi bengkel khusus telah dibuat untuk pengukuhan tatacara pemeriksaan info panel, galeri dan dossier bagi tujuan penilaian geopark kebangsaan. Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) diwakili oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah dan Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim sebagai ahli Jawatankuasa Pelaksana Geopark, bersama dengan Dr. Norbert Simon, dari Program Geologi, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM selaku sekretariat bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG). Bengkel ini dianjurkan di Ipoh, Perak yang merupakan sebahagian daripada Geopark Lembah Kinta. Bagi membantu perbincangan, siri pembentangan dilakukan untuk panel-panel geologi, biologi dan budaya disusuli dengan perbincangan bagi memastikan keselarasan dalam pemahaman yang digunakan untuk penilaian geopark kebangsaan. Satu lawatan lapangan ke sekitar Geopark Lembah Kinta juga telah dijalankan untuk memperkemas panel-panel dan galeri yang ada di sana.
Disediakan oleh PM Dr. Tanot Unjah
26 April 2025