Sinergi LESTARI-KADA: Memacu Transformasi Pertanian Pintar & Lestari

31 Disember 2025 – UKM (LESTARI) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperkukuh kerjasama strategik melalui sesi pembentangan laporan akhir penyelidikan dan perbincangan perancangan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merevolusikan sektor padi Kelantan. Inisiatif ini bertujuan menterjemahkan dapatan lapangan kepada polisi praktikal untuk meningkatkan kesejahteraan petani serta daya tahan terhadap perubahan iklim. Program dua hari ini melibatkan Bengkel Taklimat Strategik pada 29 Disember 2025 dan Kursus Pemindahan Ilmu pada 30 Disember 2025 di Pusat Latihan Pertanian Melor, Kelantan. Seramai 53 orang pegawai KADA daripada pelbagai bahagian telah menyertai sesi ini untuk memperkasakan kapasiti operasi dan teknikal di lapangan.

Fokus utama kerjasama merangkumi penyelidikan pertanian pintar, pengurusan risiko bencana seperti banjir dan pembangunan modul latihan berasaskan bukti. Sinergi antara kepakaran akademik dan agensi pelaksana ini menjadi pemangkin penting dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara serta memacu transformasi pertanian lestari di kawasan jelapang padi. Aktiviti ini turut mendapat sokongan dan liputan daripada pihak KADA yang telah berkongsi pelaksanaan program melalui laman Facebook rasmi KADA. Perkongsian ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kolaborasi akademik–agensi serta mempromosikan inisiatif ke arah pertanian lestari.

Disediakan oleh Dr. Nor Diana Mohd Idris
31 Disember 2025