SEADPRI di Persada ‘Global Platform for Disaster Risk Reduction 2025 (GP2025)’

6 Jun 2025 – Global Platform for Disaster Risk Reduction (GP2025) yang dianjurkan oleh UN Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) pada 2-6 Jun 2025 di bawah tema ‘Every Day Counts, Act for Resilience Today’, menekankan keperluan segera untuk meningkatkan daya tahan global apabila negara semakin menghampiri sasaran 2030 yang ditetapkan oleh Rangka Kerja Sendai. Forum global edisi ke-8 yang diadakan di Geneva, Switzerland ini menjadi platform kepada badan-badan kerajaan dan pihak berkepentingan dari pelbagai negara untuk membincangkan penemuan terkini dan trend, jurang serta cadangan dalam usaha pelaksanaan pengurangan risiko bencana.

Semasa forum ini berlangsung, Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad yang mewakili delegasi Malaysia dan SEADPRI telah mengambil bahagian dalam GP2025 Ignite Stage, di mana beliau mempamerkan hasil penyelidikan daripada inisiatif perintis yang tertumpu kepada meramalkan iklim ekstrem skala tempatan. Pembentangan oleh Dr. Fasha ini turut memperkenalkan Platform Berbilang Bahaya Kuala Lumpur (KL-MHP), sebuah alat amaran awal dan sokongan keputusan yang bertujuan untuk mempromosikan pendekatan bermaklumat risiko dalam perancangan bandar.
Disediakan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad
6 Jun 2025