Bengkel Teknikal Semakan Bahasa Untuk Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) Kementerian Pendidikan Malaysia

18 Februari 2025 – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri telah melancarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 dalam mendukung usaha Kerajaan membentuk negara Malaysia yang selamat dan berdaya tahan bencana. Lantas, sektor pendidikan mula mengorak langkah dan usaha dalam membina daya tahan murid-murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Dalam usaha ini, didapati tiada bimbingan yang sewajarnya untuk sekolah dan para guru untuk menjalankan aktiviti DRR kepada murid sama ada dalam bentuk pendidikan formal atau aktiviti kokurikulum.

Justeru, satu modul pendidikan DRR sedang dibangunkan, diperhalusi dan dimuktamadkan untuk digunakan. Modul tersebut merangkumi sebuah modul pendidikan dan bahan pengajaran yang membimbing guru dalam menyampaikan pengetahuan DRR secara berkesan kepada pelajar. Proses penghalusan akan menggabungkan pandangan daripada pelbagai Latihan Sesi Jurulatih (ToT) yang dijalankan untuk guru, serta maklum balas daripada guru dan pelajar yang dikumpul melalui tinjauan mengenai aktiviti DRR. Bengkel teknikal ini adalah untuk membuat semakan bahasa terhadap kandungan bagi memastikan kesesuaiannya digunakan di semua peringkat pendidikan.

Peranan Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM adalah sebagai pengarang utama modul pendidikan DRR ini dan rakan stragetik kepada pihak KPM. Secara dasarnya, bengkel ini dianjurkan bagi mencerminkan komitmen pihak berkepentingan dan kesungguhan negara serta UKM dalam isu pengurangan risiko bencana untuk kanak-kanak atau murid sekolah serta mengenalpasti jaringan masa depan yang berpotensi dengan penyelidik-penyelidik di Asia dalam bidang kepakaran UKM.

Disediakan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad
18 Februari 2025