9 Mei 2025 – SEADPRI Perluas Hubungan Penyelidikan Global Melalui Projek British Academy

9 Mei 2025 – Satu program lawatan budaya serta sesi penglibatan pihak berkepentingan dan komuniti telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) pada 5-9 Mei 2025 di bawah projek British Academy bertajuk “Approaches for Engaging with Indigenous Knowledge Processes and Holders for Disaster Risk Resilience: The Case of the Tasik Chini Biosphere Reserve, Malaysia”. Matlamat keseluruhan projek kolaborasi ini adalah untuk membangunkan pendekatan dan alat yang memupuk kerjasama saksama dan bermakna di antara perkongsian penyelidikan Orang Asli dan bukan Orang Asli. Usaha ini bertujuan untuk menyokong komuniti Orang Asli dalam menghidupkan dan mengukuhkan pandangan dunia mereka, sistem ilmu dan amalan, dan mengaplikasikannya ke arah strategi pengurangan risiko bencana (DRR).

Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad dari Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), LESTARI, UKM terlibat aktif sebagai ahli projek, bersama beberapa penyelidik lain daripada Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF-UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), University of Greenwich (United Kingdom) dan Lingnan University (Hong Kong). Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, peranan penyelidik SEADPRI adalah untuk menilai risiko bahaya berkaitan iklim dalam Rizab Biosfera Tasik Chini. Ini termasuklah menjalankan penilaian kemudahterancaman menggunakan teknik pemetaan penyertaan geospatial lanjutan dengan kerjasama komuniti Orang Asli Jakun.

Bacaan lanjut:
https://www.ukm.my/seadpri/wp-content/uploads/2025/08/Buletin_SEADPRI_No_30_WEB.pdf

Disediakan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad
9 Mei 2025