13 Mac 2026 – Kacau Periuk, Eratkan Silaturahim: Program Gotong-Royong Bubur Lambuk 2026

BANGI, 13 Mac 2026 – Suasana di Foyer Bangunan Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) pada pagi Jumaat 13 Mac 2026 meriah dengan aroma rempah-ratus dan semangat kerjasama warga universiti sempena Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Kualiti-UKM, ROSH UKM, IKMAS dan LESTARI 2026. Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi ini menyaksikan penyertaan erat daripada empat Pusat Tanggungjawab (PTj) utama – Pusat Jaminan Kualiti (Kualiti-UKM), Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM), IKMAS dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), bagi menyemarakkan tradisi ukhuwah melalui aktiviti penyediaan hidangan ikonik bulan Ramadhan.

Sebanyak 10 kg beras dalam satu periuk besar bubur lambuk telah disediakan secara gotong-royong, melibatkan kakitangan daripada pelbagai peringkat jawatan. Aktiviti bermula dengan persiapan bahan-bahan, proses memasak yang memerlukan kesabaran tinggi, sehinggalah ke proses pembungkusan dan pengagihan. Program ini bukan sekadar tentang memasak, tetapi ia adalah simbol kebersamaan kita sebagai jiran di PTj berhampiran. Apabila empat PTj bergabung tenaga, tugasan yang berat menjadi ringan, dan ukhuwah yang terjalin menjadi lebih bermakna.

Objektif Program:

  • Memperkukuh jalinan kerjasama: Mengeratkan hubungan antara kakitangan Kualiti-UKM, ROSH, IKMAS dan LESTARI.
  • Melestarikan tradisi: Menghidupkan budaya gotong-royong yang kian ditelan zaman.
  • Sumbangan komuniti: Memastikan setiap warga di PTj terlibat dapat merasai nikmat berbuka puasa dengan hidangan yang disediakan sendiri oleh rakan sekerja.

Menjelang jam 3.00 petang, sesi pembungkusan dan pengagihan bubur lambuk yang turut disertai oleh Pengarah LESTARI, Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta telah dijalankan kepada semua warga PTj yang terlibat. Senyuman dan ucapan terima kasih yang diterima menjadi penutup yang manis bagi program yang penuh keberkatan ini.

Disediakan oleh Nur Amira Ahmad
13 Mac 2026