22 Mei 2026 – Tinjauan Lapangan Kajian Kestabilan Cerun dan Kerentanan Sosial di Hulu Langat, Selangor

HULU LANGAT, 22 Mei 2026 – Siri kerja lapangan berkaitan kajian kestabilan cerun dan kerentanan sosial diteruskan lagi, kali ini di sekitar Hulu Langat, Selangor pada 19 hingga 22 Mei 2026. Program ini melibatkan penyelidik dan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dalam usaha meninjau kawasan tanah tinggi yang berisiko mengalami tanah runtuh serta mengemaskini maklumat inventori bencana di kawasan kajian.

Sepanjang tinjauan dijalankan, pasukan kajian telah melakukan pemerhatian lapangan di beberapa lokasi cerun berisiko termasuk kawasan Hutan Rizab Hulu Langat, Sungai Semungkis, Sungai Congkak dan Sungai Lui. Kajian ini berjaya merekodkan sebanyak 16 lokasi baharu tanah runtuh hasil pemerhatian dan validasi lapangan. Selain daripada mengenal pasti keadaan fizikal cerun, kajian turut menilai faktor persekitaran dan potensi risiko terhadap komuniti setempat.

Aktiviti ini memberi impak penting dalam memperkukuh pangkalan data inventori tanah runtuh, membantu proses validasi data sedia ada serta menyokong usaha pengurangan risiko bencana dan pengurusan cerun secara lebih mampan di kawasan Lembangan Langat.
Disediakan oleh PM Gs. Dr. Nuriah Abd Majid
22 Mei 2026