1 Julai 2026 – Mengukuhkan Sinergi Global: Ts. Dr. Lim Chen Kim Dilantik sebagai Profesor Adjung di Universitas Padjadjaran

BANDUNG, 1 Julai 2026 – Felo Penyelidik Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM, Ts. Dr. Lim Chen Kim telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Tourism and Sustainability Graduate School, Universitas Padjadjaran (UNPAD), Indonesia bagi tahun akademik 2026. Program jangkauan antarabangsa ini berlangsung bermula 22 Jun hingga 1 Julai 2026 di Kampus UNPAD Bandung City, Indonesia.

Sepanjang program tersebut, Dr. Lim berperanan menyampaikan syarahan jemputan, membimbing pelajar pascasiswazah, serta menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang kelestarian dan pelancongan. Pada masa yang sama, beliau turut berkesempatan terlibat dalam penganjuran webinar perkongsian ilmu berasaskan geosains dan kelestarian yang turut menampilkan Prof. Dr. Ir. Vijaya Isnaniawardani, Dekan Graduate School, UNPAD. Webinar bertajuk “Virtual Reality Sustainability and Geology” ini merupakan salah satu aktiviti di bawah Ecovolunteers Activity Series (Semester 2 Session 2025-2026), anjuran bersama Ekorelawan UKM.

Pelantikan ini bukan sahaja memperkasakan keterserlahan dan kepakaran akademik LESTARI di peringkat global, malah mengukuhkan jaringan kerjasama penyelidikan serta pembangunan ilmu sains kelestarian antara UKM dan UNPAD.

Disediakan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim
1 Julai 2026