27 Jun 2026 – Perancangan Memperkukuh Dasar Perumahan Akibat Perubahan Iklim di ASEAN

BANGKOK, 27 Jun 2026 – Program ‘CLARE CS Hub Policy Influencing Workshop’ telah dianjurkan oleh Asian Institute of Technology (AIT) melalui CLARE Capacity Strengthening Hub bagi meningkatkan keupayaan penyelidik dalam menghubungkan hasil penyelidikan dengan proses penggubalan dasar berkaitan adaptasi dan daya tahan iklim. Sebagai wakil Ketua Penyelidik Malaysia di bawah projek CLARE-ASEAN Be-Housing, Prof. Dr. Nor Zalina Harun dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM terlibat dalam perkongsian pengalaman penyelidikan, perbincangan strategi mempengaruhi dasar serta pembinaan jaringan bersama 56 penyelidik dalam 30 projek berbeza, pembuat dasar dan wakil negara anggota ASEAN.

Program telah berlangsung bermula 22 hingga 27 Jun 2026 di Bangkok, Thailand. Selain ‘CLARE CS Hub Policy Influencing Workshop’ yang dijalankan pada 22-25 Jun, aktiviti turut merangkumi Sesi Dialog ‘Daripada Penyelidikan kepada Penggubalan Dasar’ pada 26 Jun dan Mesyuarat Rakan Penyelidikan bersama lima orang wakil ASEAN pada 27 Jun 2026. Penyertaan Prof. Nor Zalina dilihat berpotensi memperkukuh strategi penterjemahan dapatan penyelidikan Be-Housing kepada cadangan dasar, di samping meningkatkan keterlihatan LESTARI serta membuka peluang kerjasama serantau dalam penyelidikan adaptasi iklim dan perumahan komuniti rentan.

Disediakan oleh Prof. Dr. Nor Zalina Harun
27 Jun 2026