25 Julai 2026 – Dari Komuniti ke Dasar: Memperkukuh Ketahanan Haba Bandar melalui ‘Be-Housing’

SURABAYA, 25 Julai 2026 – Pada 20 hingga 25 Julai 2026, Prof. Dr. Nor Zalina Harun selaku wakil penyelidik Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah menghadiri Bengkel Penyelidikan dan Advokasi Dasar Projek CLARE-ASEAN Be-Housing di Surabaya, Indonesia. Program ini turut menghimpunkan 20 penyelidik daripada Rujak Center for Urban Studies (RCUS), Yayasan Kota Kita dan ARKOM, Indonesia untuk berkongsi dapatan kajian, menilai kemajuan projek serta merangka strategi pengaruh dasar berkaitan perumahan inklusif dan adaptasi terhadap haba bandar.

Sepanjang program, peserta membincangkan cara menterjemahkan bukti penyelidikan kepada tindakan, mengenal pasti aktor dan ruang dasar, membangunkan laluan impak serta memperkukuh peranan pengetahuan komuniti dalam proses membuat keputusan. Pendekatan bengkel dan mesyuarat ini menekankan bahawa pengaruh dasar memerlukan penyelidikan berkualiti, jaringan strategik dan produk pengetahuan yang mudah digunakan. Program diakhiri dengan perbincangan awam bersama penduduk Kampung Dupak Magersari dan Rusun Sombo. Penyertaan ini berjaya memperkukuh jaringan serantau, meningkatkan keterlihatan penyelidikan dari LESTARI dan membuka ruang untuk menghasilkan cadangan dasar yang lebih responsif terhadap pengalaman sebenar komuniti bandar rentan.

Disediakan oleh Prof. Dr. Nor Zalina Harun
25 Julai 2026