19 Julai 2026 – UKM Kongsi Perjalanan Langkawi UNESCO Global Geopark di ASEAN-ID Blue 2026

BANYUWANGI, 19 Julai 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkesempatan terlibat dalam program ASEAN-ID Blue yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia dengan kerjasama Kerajaan Kabupaten Banyuwangi; Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand; dan Kementerian Kelautan dan Perikanan Republik Indonesia. Program antarabangsa ini telah berlangsung dengan jayanya pada 17-18 Julai 2026 di Banyuwangi, Indonesia.

ASEAN-ID Blue dirangka sebagai platform komprehensif bagi perkongsian pengetahuan dan pengukuhan kerjasama melalui penggabungan dialog pembangunan dasar, lawatan lapangan serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. Program ini menghimpunkan wakil daripada Negara-Negara Anggota ASEAN; Sekretariat ASEAN; negara-negara yang menyertai East Asia Summit (EAS); ahli-ahli Pacific Islands Forum (PIF) yang mempunyai perwakilan diplomatik di Jakarta; kementerian dan agensi-agensi berkaitan di Indonesia; agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Jakarta; ahli akademik; institusi-institusi penyelidikan; pihak berkuasa tempatan; serta wakil-wakil komuniti.

UKM yang diwakili oleh Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta, telah dijemput bagi membentangkan kertas kerja bertajuk “Leveraging Natural and Cultural Assets for Sustainable Tourism Development: The Langkawi Experience“. Dalam pembentangan beliau, Prof. Goh berkongsi pengalaman UKM dalam menjalin kerjasama strategik dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi menyokong hasrat dan kejayaan Langkawi memperoleh pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp). Rentetan daripada usaha sama penyelidikan yang dijalankan, Langkawi akhirnya dimasyhurkan sebagai UGGp yang pertama di Asia Tenggara pada tahun 2007, sekali gus menjadi lambang pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pelancongan lestari dan pemuliharaan warisan di rantau ini.

Disediakan oleh Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta
19 Julai 2026