24 Julai 2026 – Menerokai Kerjasama antara Pusat SDG Negara (PSN) dan LESTARI UKM

PUTRAJAYA, 24 Julai 2026 – Satu mesyuarat bagi meneroka potensi kerjasama strategik antara Pusat SDG Negara (PSN) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan di Kementerian Ekonomi.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Asfaazam bin Kasbani, Pengarah Pusat SDG Negara, manakala delegasi LESTARI UKM diketuai oleh Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta, Pengarah LESTARI UKM. Pertemuan ini bertujuan membincangkan peluang kerjasama strategik dalam menyokong pelaksanaan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan di Malaysia. Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan oleh pihak PSN mengenai status dan perkembangan data Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) di Malaysia. Pembentangan tersebut memberi gambaran menyeluruh berhubung pencapaian semasa, cabaran serta keutamaan negara dalam memperkukuh pelaksanaan SDG di peringkat nasional.

Sesi diteruskan dengan perbincangan mengenai potensi kerjasama antara PSN dan LESTARI UKM, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran, penyelidikan, pembangunan data, pemantauan indikator SDG serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang dapat menyokong agenda pembangunan mampan negara. Turut dibincangkan ialah cadangan pelaksanaan pelbagai aktiviti secara bersama, termasuk program pembangunan kapasiti, seminar, bengkel, penyelidikan serta inisiatif lain yang mampu memperkukuh jaringan kerjasama antara kedua-dua organisasi. Pertemuan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dan berterusan dalam mempercepat pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Malaysia.
Disediakan oleh Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi
24 Julai 2026