3 Julai 2026 – Warga LESTARI Cergas Jelajah Kampus UKM dalam Program ‘Jom Brisk Walk’

BANGI, 3 Julai 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM bertukar ceria dan bertenaga menerusi penganjuran Program Gaya Hidup Sihat: ‘Brisk Walk’ pada 3 Julai 2026. Program rekreasi yang dianjurkan oleh Kelab Sosial dan Rekreasi (KSR), LESTARI ini telah berjaya mengumpulkan warga kerja LESTARI seawal jam 8.15 pagi di Lobi LESTARI dengan persalinan sukan yang lengkap dan penuh semangat.

Aktiviti yang berlangsung selama hampir satu jam ini dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan warga kerja menerusi senaman berjalan cepat yang mudah tetapi sangat berkesan untuk kesihatan jantung. Menerusi laluan kecergasan kali ini, para peserta melangkah dari perkarangan LESTARI mengelilingi persekitaran hijau kampus UKM sehingga menyusuri laluan ke Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB). Selain menyokong usaha universiti dalam memupuk kesejahteraan warga kampus, program ini turut memberi ruang kepada para peserta untuk meregangkan otot, menghirup udara segar dan merehatkan minda daripada kesibukan tugasan harian.

Suasana sepanjang program ternyata meriah dengan penglibatan menyeluruh daripada seluruh warga LESTARI, merangkumi pihak pengurusan, staf pentadbiran, pembantu penyelidik, serta para pelajar. Semua peserta bersama-sama melangkah dan beramah mesra di sepanjang laluan kampus UKM Bangi, sekali gus mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam suasana yang cukup santai.

Disediakan oleh Nur Amira Ahmad
3 Julai 2026