2 Sep 2026 – UKM–KADA Perkukuh Kerjasama Strategik dalam Pembangunan Pertanian Lestari

SERDANG, 2 September 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerusi satu Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijalankan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 2 September 2026 di MAEPS Serdang, Selangor. Kerjasama ini merupakan kesinambungan penglibatan LESTARI dalam penyelidikan berkaitan pembangunan pertanian, penerimagunaan teknologi dan kesejahteraan sosioekonomi petani di kawasan KADA. LESTARI berperanan menyumbang kepakaran penyelidikan, pemindahan ilmu dan pendekatan berasaskan bukti bagi menyokong pembangunan pertanian mampan.

Skop kerjasama antara lain merangkumi pembangunan makmal lapangan, program pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti, inovasi dan perkhidmatan pertanian, penyelidikan dan penerbitan bersama serta pembangunan dasar dan khidmat perundingan. Kerjasama strategik yang terjalin ini berpotensi memperkukuh hubungan akademia–agensi, memperluas impak penyelidikan kepada komuniti petani serta menyokong transformasi pertanian yang mampan, inklusif dan berdaya saing.

Pautan: https://www.facebook.com/share/1GztH6jJKf/

Disediakan oleh Dr. Nor Diana Mohd Idris
2 September 2026