20 Ogos 2026 – LESTARI Bersama JAS Cawangan Kajang Jalankan Persampelan Kualiti Air dan Mikroplastik di Lembangan Sungai Langat

HULU LANGAT, 20 Ogos 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah melaksanakan aktiviti lapangan selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Ogos 2026, bagi persampelan kualiti air dan mikroplastik di Lembangan Sungai Langat, Selangor, di bawah Projek Penyelidikan GGPM-2025-003 yang diketuai oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin. Aktiviti ini dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Cawangan Kajang bagi menyokong pengumpulan data lapangan berkaitan status kualiti air dan kehadiran mikroplastik dalam sistem perairan sungai.

Persampelan melibatkan pengambilan sampel air di lokasi terpilih yang merangkumi kawasan hulu, tengah dan hilir Lembangan Sungai Langat serta dokumentasi keadaan persekitaran untuk analisis seterusnya. Kerjasama yang terjalin ini memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan agensi kerajaan dalam pemantauan serta penyelidikan alam sekitar. Sampel yang diambil seterusnya akan melalui proses analisis makmal, di mana data yang diperoleh dijangka akan menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik tentang pencemaran sungai serta menyokong usaha pengurusan sumber air yang lebih berkesan berasaskan bukti di Lembangan Sungai Langat.

Disediakan oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin
20 Ogos 2026