28 Mei 2026 – Kota Purba di Tasik Tanah Tinggi dan Ekosistem Pergunungan Terbentuk oleh Keunikan Warisan Geologi

DALI, 28 Mei 2026 – Prof. Madya Dr. Tanot Unjah, Felo Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah dijemput sebagai Panel Penilai di bawah UNESCO Global Geopark Secretariat bersama-sama seorang lagi Penilai Kanan dari Idrija Geopark, Slovenia, iaitu Bojan Rezun bagi membuat penilaian ke atas Dali Mount Cangshan UGGp, China. Penilaian semula ini bertujuan menilai perkembangan geopark selepas empat tahun, di mana penganjurannya dikendalikan oleh Wilayah Autonomi Dali selaku Badan Pengurusan geopark berkenaan. Setiausaha The Dali Party dan beberapa agensi kerajaan tempatan, termasuk Chinese Academy of Sciences turut menghadiri sesi penilaian semula yang berlangsung selama tiga hari ini. Sesi yang dijalankan meneliti kemajuan geopark berdasarkan garis panduan yang dibangunkan oleh UNESCO Global Geopark (UGGp), di samping memberikan saranan bagi penambahbaikan dalam aspek pembangunan geopark pada masa hadapan.

Dali Mount Cangshan UGGp dilihat menyerlah dalam usaha mempromosikan pendidikan geopark melalui muzium dan galeri berteknologi tinggi. Pada masa yang sama, institusi pendidikan seperti sekolah turut dimanfaatkan sebagai medium untuk memupuk kesedaran tentang pemuliharaan dan penghargaan terhadap alam sekitar. Selain itu, pelbagai kemudahan disediakan bagi memenuhi keperluan pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan pelancongan. Usaha memulihkan tasik yang tercemar sehingga kembali bersih, di samping usaha memelihara hidupan akuatik dan tumbuh-tumbuhan merupakan antara amalan terbaik oleh pihak kerajaan dalam mewujudkan persekitaran yang lebih baik serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Selaras dengan inisiatif geopark, komuniti di sekitar ekosistem tasik diperkasa melalui pendidikan dan peningkatan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan warisan dan alam sekitar.

Sebagai bekas ibu kota purba China yang mempunyai sejarah melebihi 500 tahun lamanya, kawasan ini mengekalkan pelbagai monumen dan warisan budaya dalam persekitaran bandar purba yang masih sesuai untuk didiami. Dikenali sebagai pengeluar marmar semula jadi bercorak lukisan yang terkemuka, Dali Mount Cangshan UGGp turut merancakkan sektor pelancongan tempatan melalui gabungan keunikan budaya dan keindahan warisan tabii. Landskapnya merangkumi tasik di kawasan tanah tinggi serta banjaran pergunungan yang terbentuk hasil daripada zon sesar dan pergerakan tektonik. Selain itu, komuniti tempatan juga terus diperkasa untuk melibatkan diri dalam geopelancongan termasuk sebagai pemandu pelancong dan penyelia perkhidmatan. Keunikan geologi dan geomorfologi di kawasan ini turut mempengaruhi taburan biodiversiti serta kepelbagaian aktiviti pertanian, sekali gus memperlihatkan hubungan erat di antara proses geologi dengan kehidupan dan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

Disediakan oleh PM Dr. Tanot Unjah
28 Mei 2026