
ALOR GAJAH, 19 Julai 2026 – Satu ‘Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Masyarakat Orang Asli/Pelbagai Etnik Aspiring Melaka Geopark’ telah berjaya mengumpulkan lebih dari 100 peserta yang terdiri daripada komuniti pelbagai etnik dari kawasan Felda Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka. Program anjuran Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka dibawah Jawatankuasa Pemerkasaan Komuniti dan Kesedaran Awam Aspiring Melaka Geopark ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka merangkap ADUN Machap Jaya.
Dalam sesi ini, perkongsian berkaitan geopark di Malaysia, kepentingan geologi di Melaka dan penglibatan Orang Asli dalam pembangunan geopark, masing masing telah dikongsikan oleh Ahli Panel yang dijemput, iaitu Prof. Dr. Che Aziz Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan; En. Mustadza Mazni sebagai Ahli Geologi dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Melaka dan Negeri Sembilan; dan Prof. Madya Dr. Tanot Unjah sebagai Pakar Rujuk dari Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM. Perkongsian mereka bukan sahaja menjadi wadah meningkatkan kesedaran tentang penglibatan masyarakat majmuk di Melaka tetapi turut membawa agenda memperkasa komuniti Orang Asli untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan geopark. Sewaktu sesi berlangsung, komuniti pelbagai etnik telah berkesempatan memberikan persembahan kebudayaan, antaranya seperti warisan silat dan tarian rewang, sebelum melalui siri slot pembinaan semangat dan sesi bersama Ahli Panel yang memberikan ruang soal jawab serta kuiz berkaitan geopark.

Program ini dilihat telah berjaya memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai konsep geopark, kepentingan pemuliharaan sumber warisan tabii (geologi dan biologi) serta budaya, dan peranan komuniti setempat dalam melindungi sumber warisan yang telah dikenalpasti. Selain itu, mereka turut diajar tentang bagaimana sumber warisan tabii serta budaya sedia ada ini digunakan dan diketengahkan dalam bentuk geopelancongan dan pelancongan pengetahuan yang lestari khususnya dalam Aspiring Melaka Geopark.
Disediakan oleh PM Dr. Tanot Unjah
19 Julai 2026