13 Okt 2026 – Atasi Haba Bandar: Projek ‘Be-Housing’ Tangani Isu Haba Bandar Demi Perumahan Inklusif Golongan Rentan

BANGI, 13 Oktober 2026 – Isu haba bandar (urban heat) yang kian mendesak menyaksikan penglibatan strategik lebih 80 orang peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT), NGO dan ahli akademik dalam Bengkel Diseminasi Nasional Malaysia Projek CLARE-ASEAN Be-Housing bertajuk ‘Melangkaui Perumahan: Membina Habitat yang Inklusif, Berdaya Tahan dan Responsif Iklim’. Penganjuran bengkel ini diadakan bersempena Sambutan Hari Habitat Sedunia 2026 dan Ulang Tahun Ke-32 Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM.

Majlis dimulakan dengan tayangan video khas sempena Ulang Tahun Ke-32 LESTARI yang memaparkan deretan pencapaian penyelidikan merentas disiplin serta sumbangan khidmat kepakaran institut sepanjang tahun 2025 dan 2026. Sejak ditubuhkan pada 1 Oktober 1994, LESTARI terus memperbaharui komitmen dan memantapkan tekad sebagai sebuah institut penyelidikan yang menterjemahkan sains kelestarian kepada penyelesaian berimpak nyata untuk masyarakat dan negara.

Acara seterusnya terarah kepada pembentangan dapatan utama kajian perbandingan antara Malaysia dan Indonesia berfokus kepada ‘Perumahan, Haba Bandar dan Daya Tahan Komuniti di Malaysia’. Sesi perkongsian ini disampaikan oleh Prof. Dr. Nor Zalina Harun, Ketua Projek Be-Housing Malaysia dan Dr. Dian Tri Irawaty, Ketua Projek Be-Housing Indonesia dari Rujak Centre for Urban Studies (RCUS), Indonesia. Inisiatif penyelidikan antarabangsa di bawah pembiayaan Climate Adaptation & Resilience (CLARE-ASEAN) ini diterajui oleh LESTARI dengan kerjasama penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta tiga NGO Indonesia—Rujak Centre for Urban Studies, Kota Kita Foundation, dan ARKOM Indonesia. Menerusi kajian perbandingan mendalam di sepuluh lokasi petempatan di Malaysia dan Indonesia, projek ini merungkai kerentanan komuniti berpendapatan rendah terhadap gelombang haba bandar di samping menganalisis faktor fizikal, sosioekonomi dan tadbir urus yang mempengaruhi keupayaan adaptasi iklim mereka.

Sesi kemuncak program diteruskan dengan ‘Forum Perumahan, Haba Bandar dan Daya Tahan Komuniti di Malaysia’ yang dikendalikan oleh Prof. Madya Sr. Dr. Norngainy Mohd Tawil selaku Moderator. Forum ini mendedahkan bahawa ancaman haba bandar menuntut pendekatan holistik yang menyepadukan elemen kesihatan awam, tindakan dasar kerajaan, serta reka bentuk fizikal kediaman.

Dalam perbincangan interaktif tersebut, Dr. Nur Farhana Mohd Anuar@Aniok dari Pusat Kesihatan Daerah Hulu Langat memberi pendedahan tentang risiko tindak balas fizikal dan bahaya kesihatan akibat pendedahan suhu tinggi terhadap kumpulan rentan. Puan Idatul Farita Mohamad Toha mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula memperincikan langkah strategik serta dasar semasa kerajaan dalam membina kediaman berdaya tahan iklim. Menyarungi aspek seni bina, Dr. Norhanizan Sahib dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menggariskan kepentingan reka bentuk rumah yang kondusif dan sistem pengudaraan berkesan, selain berkongsi inisiatif praktikal LPHS bagi melindungi kesejahteraan komuniti rentan daripada impak suhu ekstrem.

Penganjuran program ini jelas membuktikan komitmen teguh kerajaan dalam menangani isu haba bandar secara serius, terutamanya di petempatan golongan rentan. Bagi memastikan kualiti hidup masyarakat terus terpelihara, pelbagai kempen kesedaran, program advokasi dan kerjasama rentas agensi akan terus diperkasakan demi melahirkan persekitaran perumahan yang selamat, selesa dan berdaya tahan iklim untuk masa depan.

Disediakan oleh Wan Daraputri Razali
13 Oktober 2026