BANGI, 13 Oktober 2026 — Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menerima kunjungan delegasi penyelidik dari Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia. Sesi perbincangan rasmi ini berlangsung bermula jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di Bilik Mesyuarat Utama, LESTARI, UKM. Pertemuan tersebut dihadiri oleh barisan akademik dan penyelidik kedua-dua institusi, iaitu Prof. Madya Gs. Dr. Nuriah Abd Majid (Felo Penyelidik, LESTARI), Prof. Dr. Heri Tjahjono (Profesor, UNNES), Puan Ku Adriani Ku Ayob (Pegawai Penyelidik, LESTARI), Nurakmar Hakim Jasni (Pelajar PhD, LESTARI) dan seorang pembantu penyelidik dari UNNES Indonesia.

Sesi lawatan ini menumpukan kepada projek penyelidikan bertajuk “Analisis Dampak Dinamika Kerapatan Bangunan, Suhu Wilayah dan Polusi Udara Terhadap Tingkat Kekritisan Lingkungan di Kota Semarang (Indonesia) dan Malaysia”. Antara agenda utama yang disempurnakan sepanjang tiga jam setengah tersebut termasuk pembentangan dapatan kajian oleh Prof. Dr. Heri Tjahjono, rancangan penerbitan jurnal dan penyediaan laporan akhir projek penyelidikan serta hala tuju penyelidikan masa hadapan. Sesi perbincangan ini mengukuhkan lagi kolaborasi penyelidikan rentas sempadan antara LESTARI, UKM dan UNNES dalam menangani isu pemetaan persekitaran serta pembangunan mampan di rantau ini.

Disediakan oleh Ku Adriani Ku Ayob
13 Oktober 2026