1 Okt 2026 – Program LA21 ‘Sungai untuk Kehidupan’: Hampir 500kg Ikan Asing Sekitar Denai Kebangsaan Berjaya Ditangkap

BANGI, 1 Oktober 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diundang sebagai Penganjur Bersama oleh Jabatan Perancangan Pembangunan, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) bagi bersama-sama menjayakan satu ‘Program LA21: Sungai untuk Kehidupan (River for Life) Majlis Perbandaran Kajang Tahun 2026’, bertempat di Denai Sungai Kebangsaan @ Sungai Langat, berhampiran dengan Pintu Utama UKM Bangi, Selangor. Selain LESTARI, program ini turut berkolaborasi bersama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Program selama setengah hari yang dijalankan ini secara umumnya berhasrat meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti Bangi termasuk para pelajar universiti yang berdekatan tentang kepentingan ekosistem sungai dalam menyokong kesejahteraan kehidupan masyarakat khususnya di sekitar Sungai Langat. Melalui pelbagai aktiviti yang dirancang dalam program ini (antaranya seperti aktiviti gotong royong pembersihan sampah), pihak penganjur mengharapkan agar pengisiannya dapat memupuk perubahan tingkah laku dan mentaliti para peserta yang hadir ke arah amalan penjagaan alam sekitar secara lestari dan berterusan.

Lebih utama, pihak penganjur melalui program ini turut berhasrat untuk menguar-uarkan kepada umum tentang isu yang amat membimbangkan berkaitan kehadiran spesies ikan asing yang mendominasi ekosistem perairan sungai-sungai di Malaysia termasuk di Sungai Langat. Bagi tujuan itu, pihak penganjur turut menganjurkan satu ‘Pertandingan Menangkap Ikan Asing’ di dalam program ini, di mana penyertaannya terbuka kepada umum. Sejumlah lapan kumpulan peserta dari pelbagai latar belakang (antaranya termasuk agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pelajar universiti dan komuniti) telah menyertai pertandingan ini.

Delegasi 16 orang kakitangan, pembantu penyelidik dan pelajar LESTARI yang diketuai oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin juga telah menyertai program yang dianjurkan seawal jam 8.30 pagi ini, di mana LESTARI turut menghantar satu kumpulan bagi menyertai pertandingan yang dijalankan. Hasilnya, dalam tempoh masa tiga jam yang diperuntukkan, keluarga LESTARI yang hadir bersama-sama berganding bahu, saling bantu membantu dan berjaya menaikkan lebih daripada 50kg spesies ikan asing (seperti ikan bandaraya, lampam jawa, lampam siam dan tilapia hitam) menggunakan peralatan menjala yang dibekalkan oleh pihak penganjur. Selain LESTARI, pertandingan ini turut disertai oleh pelajar-pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), mewakili sebuah lagi kumpulan dari UKM.

Seusai pertandingan, kumpulan peserta LESTARI dinobatkan sebagai Pemenang Tempat Ke-4 dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100 dan hamper. Melalui sesi penyampaian hadiah juga, pihak penganjur pertandingan turut mengumumkan bahawa jumlah tangkapan ikan asing yang berjaya di bawa naik di dalam program ini adalah hampir 500kg, di mana sekitar 95% daripadanya adalah spesies ikan bandaraya atau turut digelar pleco (Pterygoplichthys pardalis, Pterygoplichthys disjunctivus dan Hypostomus plecostomus), lantas membuka mata para hadirin yang hadir. Penganjur turut memaklumkan bahawa ikan-ikan yang di bawa naik ini kemudiannya akan diserahkan kepada ahli-ahli SPIA untuk diproses menjadi baja kompos dan pelet makanan untuk ikan-ikan ternakan.

Kehadiran populasi ikan asing dan invasif di dalam ekosistem perairan air tawar dan sungai di Malaysia adalah satu isu yang sangat kritikal dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, penyelidik-penyelidik universiti dan komuniti umum dalam bersama mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah ini, serta bagi tujuan memulihkan ekosistem dan mengembalikan biodiversiti ikan tempatan di sungai negara kita. Umum perlu sentiasa diingatkan bahawa spesies-spesies ikan asing yang dominan dan tahan lasak ini mampu membiak dengan cepat, walau dalam persekitaran yang tercemar sekali pun, yang akhirnya menjejaskan rantaian makanan kepada spesies-spesies tempatan seperti ikan patin, baung kuning, tilan dan udang galah yang kian hilang.

Program-program CSR seumpama ini perlu sentiasa dipergiatkan di masa hadapan, bukan sahaja di Sungai Langat, malah di seluruh ekosistem sungai yang terkesan di serata Malaysia, sebolehnya melibatkan penyertaan semua pihak berkepentingan khususnya komuniti setempat. Selain itu, kesedaran umum berkenaan ancaman dan impak negatif kehadiran ikan asing di perairan air tawar negara perlu terus ditingkatkan dalam pelbagai medium sebaran ilmu, yang mana ia turut menuntut sumbangan celik pandai dari universiti untuk menjayakan hasrat murni ini. Syabas dan terima kasih diucapkan kepada seluruh keluarga LESTARI. Jom bersama kita jaga dan sayangi sungai negara kita!

Disediakan oleh Nazren Leman
1 Oktober 2026