11 Mac 2026 – Sinergi TRIGGER: Meniti Jurang Risiko Tanah Runtuh & Kewangan Iklim

11 Mac 2026 – Fenomena hujan ekstrem kini bukan sekadar ancaman alam, malah menjadi risiko kewangan yang kritikal. Menyedari hakikat ini, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM bersama British Geological Survey (BGS) dan rakan-rakan kolaborasi yang lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor/Wilayah Persekutuan dan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor (SCAC) telah menganjurkan bengkel bertajuk “Modelling Landslide Risk for Climate Finance & Resilience – Bridging the Gap” dan “Knowledge Exchange & Engagement Workshop on Landslide Risks, Climate Hazards and Climate Finance for Resilience” di Shah Alam, Selangor pada 10 & 11 Mac 2026.

Program di bawah projek TRIGGER ini bertujuan merapatkan jurang antara sains geologi dan sektor kewangan. Antara objektif utama termasuklah:
- Membina platform dialog pelbagai sektor mengenai kerugian akibat tanah runtuh.
- Membentangkan kerangka model risiko berasaskan data hujan ekstrem.
- Mengenal pasti cabaran teknikal resolusi data untuk aplikasi masa hadapan.

Disokong oleh Foreign, Commonwealth & Developement Office (FCDO), United Kingdom dan inisiatif Climate Action for a Resilient Asia (CARA), bengkel ini berpotensi memperkasakan daya tahan komuniti di Selangor. Impaknya, model yang dibangunkan bakal menjadi rujukan penting dalam pengurusan risiko bencana dan peruntukan dana adaptasi iklim yang lebih tepat dan efisien di rantau Asia Tenggara.
Disediakan oleh Puteri Amirah Nabilah Azman
11 Mac 2026