12 Jun 2026 – ‘Bengkel IMC Mengenai Pemuliharaan and Pemulihan Ekosistem Bakau bagi Rantau Asia Pasifik’ di China

SHENZHEN, 12 Jun 2026 – Saban tahun, International Mangrove Center (IMC) tidak terlepas dari menganjurkan ‘IMC Workshop on Mangrove Conservation and Restoration for the Asia Pacific Region’ sebagai siri kursus/latihan berterusan kepada peserta, pengurus atau pihak berkepentingan dalam bidang pengurusan ekosistem bakau dari seluruh dunia. Tahun 2026 ini, bengkel yang sama telah dianjurkan bermula 10 hingga 12 Jun 2026, bertempat di Shenzhen, China. Ia bertujuan untuk meningkatkan kapasiti teknikal, menggalakkan perkongsian pengetahuan serta memupuk kerjasama dalam pengurusan ekosistem bakau. Bengkel ini turut menggabungkan lawatan lapangan teknikal diselangi siri syarahan dalaman, sekali gus menyediakan pendedahan kepada aplikasi praktikal dan pendekatan inovatif dalam usaha pemuliharaan serta pemulihan ekosistem bakau.

Seperti kebiasaan juga, Prof. Madya Dr. Ahmad Aldrie Amir dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM sekali lagi dijemput oleh pihak IMC sebagai Tenaga Pengajar dan Penceramah bagi menyumbang kepakaran beliau sepanjang bengkel latihan ini berlangsung. Berhadapan dengan kumpulan peserta baharu dari pelbagai pelosok dunia, Dr. Aldrie acap kali menekankan kepentingan perkongsian dan kerjasama dalam kalangan semua pihak berkepentingan berkaitan pengurusan dan pemuliharaan ekosistem bakau. Beliau turut menyarankan agar para peserta memahami prinsip-prinsip asas ekologi bakau serta mempertimbangkan secara teliti aspek keterhubungan dan kerumitan ekosistem bakau sama ada di peringkat tempatan, serantau atau global sebagai suatu ekosistem rentas sempadan.
Disediakan oleh Nazren Leman & PM Dr. Ahmad Aldrie Amir
12 Jun 2026