12 Mei 2026 – Meneroka Aspek Saintifik dan Warisan di Sumatera Selatan Melalui ‘International Geological Summer Programme’

INDRALAYA, 12 Mei 2026 – Pensyarah dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan tiga orang pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM telah mengambil bahagian secara aktif dalam Danau Rayo International Summer Camp 2026 yang dianjurkan oleh Fakultas Teknik, Universitas Sriwijaya (UNSRI), dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Musi Rawas Utara serta Kelompok Sadar Wisata Danau Rayo (POKDARWIS), Indonesia. Program musim panas yang diketuai oleh Dr. Ir. Bhakti Yudho Suprapto, Dekan Fakultas Teknik, UNSRI bersama barisan staf fakultas ini telah berjaya menghimpunkan empat orang pensyarah dari University of Kerala, India; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia; serta Universitas Padjadjaran dan Universitas Pendidikan Indonesia. Setiap daripada mereka diberi tanggungjawab menyampaikan kuliah yang merangkumi pelbagai topik berkaitan impak meteor, geologi pemuliharaan, geologi tempatan dan penglibatan komuniti.

Dalam kem ini, Prof. Madya Dr. Tanot Unjah telah menyampaikan ucaptama berkaitan geologi pemuliharaan dan geopark pada hari pertama program berlangsung. Sesi ini kemudiannya disusuli dengan kuliah lapangan oleh beliau berkaitan ekosistem tasik dari perspektif warisan geologi. Program musim panas ini telah disertai oleh seramai 20 orang pelajar yang terdiri daripada 10 orang pelajar UNSRI, tiga orang pelajar UKM dan selebihnya adalah pelajar daripada Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Kem yang dijalankan dalam bidang geosains ini menyediakan platform bagi pertukaran ilmu dan pengalaman lapangan dalam kalangan pelajar jurusan geologi di rantau ini.

Usaha bersepadu dalam perkongsian ilmu daripada pelbagai perspektif geologi melalui sesi kuliah yang disampaikan oleh para pensyarah jemputan telah memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh kepada para pelajar, khususnya dalam membentuk perspektif yang lebih komprehensif terhadap pendekatan analisis data bagi kajian berkaitan warisan geologi yang berpotensi. Turut hadir bagi memberi sokongan serta berkongsi maklumat berkaitan komuniti tempatan dalam program ini adalah Ketua Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan, Kabupaten Musi Rawas Utara dan Ketua POKDARWIS – Kelompok Sadar Wisata Danau Rayo, iaitu sebuah organisasi pelancongan berasaskan komuniti.

Disediakan oleh PM Dr. Tanot Unjah
12 Mei 2026