12 Ogos 2026 – Pembelajaran Modul Air, Sungai dan Manusia di Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Kebangsaan (Zon Borneo) 2026

BAU, 12 Ogos 2026 – Seperti kebiasaan, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-ALAF), UKM sekali lagi dijemput oleh UNESCO-IHP Malaysia bagi menyampaikan Modul Pembelajaran: Air, Sungai dan Manusia, kali ini bertandang ke Libiki Bamboo Resort, Bau, Sarawak dalam Program Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Kebangsaan (Zon Borneo) 2026. Program yang dijalankan pada 10 hingga 12 Ogos 2026 ini turut berkolaborasi erat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kem yang berorientasikan pendidikan dan kesedaran ini menyasarkan penglibatan pelajar sekolah menengah di Sarawak dan melibatkan penyertaan sekitar 80 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, guru dan fasilitator. LESTARI yang diwakili oleh En. Norazmi Abdul Kadir dan Cik Nurlina Mohd Ramzan telah dijemput oleh pihak UNESCO-IHP Malaysia sebagai tenaga pengajar/fasilitator modul bagi memperkasa ilmu berkaitan peranan komuniti dalam pengurusan ekosistem air dan sungai, dalam sesi kuliah dan aktiviti lapangan yang dijadualkan di sekitar Kampus UNIMAS, Sarawak.

Disediakan oleh Norazmi Abdul Kadir & Nazren Leman
12 Ogos 2026