13 Julai 2026 – LESTARI Raikan Peluang Perkongsian Kepakaran Bersama Universitas Hamzanwadi, Indonesia

BANGI, 13 Julai 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM amat berbesar hati menerima kunjungan enam delegasi daripada Universitas Hamzanwadi, Indonesia ke LESTARI, lewat petang 13 Julai 2026. Sesi lawatan akademik yang berlangsung sekitar dua jam ini sarat dengan perbincangan berkaitan peluang-peluang kerjasama strategik dalam aspek pendidikan, selain turut mengintai potensi kolaborasi penyelidikan dan perkongsian kepakaran khususnya dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, pembangunan sosio-ekonomi masyarakat dan pembangunan geopark.

Kehadiran delegasi dipimpin oleh Rektor Universitas Hamzanwadi sendiri, Dr. Hj. Sitti Rohmi Djalilah dan disertai oleh Pengarah Kerja Sama dan Hubungan Internasional, Moh. Farid Zaini serta Pengarah Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat, Dr. Syahibul Ahyan, dalam usaha mereka bagi membangunkan pendidikan berdaya saing dan berkelas dunia di Universitas Hamzanwadi. Perbincangan dipengerusikan oleh Pengarah LESTARI, Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta dan dihadiri oleh Ketua Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Prof. Dr. Norhayati Ahmad, serta Felo Akademik PPG, Prof. Madya Dr. Tanot Unjah dan Dr. Mir Sujaul Islam.

Fokus perbincangan antaranya menjurus kepada kolaborasi penyelidikan dan penerbitan ilmiah, pengembangan program akademik bertaraf global serta peluang pertukaran akademik dan pelajar pascasiswazah. Selain itu, delegasi yang hadir turut mengintai pendekatan terbaik dalam membawa kepakaran penyelidik LESTARI dalam aspek penyelidikan inovatif dan pembangunan geopark, khususnya bagi memperkukuh usaha pemuliharaan warisan geologi dan biologi di Rinjani-Lombok UNESCO Global Geopark. Sesi lawatan akademik ini diharapkan selanjutnya dapat mengikat kerjasama yang terjalin di antara LESTARI dan Universitas Hamzanwadi dengan lebih erat bagi memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi dalam meningkatkan kualiti pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

Pautan berita sumber lainhttps://hamzanwadi.ac.id/news/details/building-globally-competitive-education-hamzanwadi/

Disediakan oleh Nazren Leman
13 Julai 2026