16 Julai 2026 – Ke Arah APGN Symposium 2026: 10 Pakar Himpun Kepakaran Saring Abstrak Berimpak

BANGI, 16 Julai 2026 – Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah menganjurkan ‘Bengkel Penilaian Abstrak Asia Pacific Geoparks Network (APGN) Symposium 2026’ pada 16 Julai 2026 bertempat di Bangi Resort Hotel. PPG telah dilantik oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai Penyelaras kepada Jawatankuasa Saintifik bagi persidangan APGN 2026 yang akan diadakan pada 7-10 September 2026 di Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp). Persidangan ini merupakan platform dwitahunan berprestij di rantau Asia Pasifik yang mengumpulkan pakar geologi, pengurus geopark, penyelidik dan penggubal dasar. Edisi ke-4 pada tahun 2026 ini menumpukan kepada perkongsian ilmu, pembangunan geopark secara mampan, pemeliharaan warisan geologi, serta pemerkasaan sosio-ekonomi komuniti tempatan.

Penganjuran bengkel penilaian ini merupakan pendekatan baharu oleh APGN dengan menghimpunkan seramai 10 orang pakar bidang berkaitan geopark bagi menyaring, menilai dan memuktamadkan penerimaan kertas kerja ilmiah daripada pelbagai penyelidik tempatan dan antarabangsa. Bengkel ini juga berteraskan tiga objektif utama iaitu menyelaras pemahaman panel penilai menerusi Abstract Evaluation Form secara standard bagi mengelakkan bias, menapis dan memilih abstrak berimpak tinggi yang menepati standard akademik antarabangsa, serta memastikan keseluruhan proses semakan selesai secara cekap mengikut garis masa penganjuran.

Penganjuran bengkel ini bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan akademik persidangan, malah meningkatkan integriti dan ketelusan proses saringan kertas kerja. Langkah ini sekali gus menjamin bahawa pengisian ilmiah yang dibentangkan kelak sahih dari segi metodologi serta mampu memberikan sumbangan bermakna kepada kelestarian geopark serantau.

Disediakan oleh Wan Daraputri Razali
16 Julai 2026